Kerajaan setuju naikkan kadar elaun sara hidup pelajar tajaan JPA

Anwar ketika menyampaikan amanat kepada pelajar tajaan JPA di institusi pengajian tinggi pada Program Bicara Siswa Cakna Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar ketika menyampaikan amanat kepada pelajar tajaan JPA di institusi pengajian tinggi pada Program Bicara Siswa Cakna Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi peringkat persediaan hingga Ijazah Lanjutan di dalam dan luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan kadar elaun itu akan dinikmati golongan pelajar berkenaan mulai 1 Julai ini.

"Kerajaan setuju mulai 1 Julai saudara akan dapat RM100 tambahan (bagi pelajar tajaan JPA di dalam negara)

"Tapi belanjalah dengan berhemah, jangan membazir, jangan hisap vape (rokok elektronik). Kena fikir guna cara halal sebab saya tolong kerana saya fikir saudara susah nak makan, nak beli buku kalau buat yang tidak betul, itu membazir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Pelajar Tajaan JPA Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dekat sini.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Anwar berkata, kenaikan elaun itu melibatkan kenaikan 15 peratus kadar ESH bagi pelajar tajaan JPA di luar negara, kecuali kepada pelajar Ijazah Pertama di United Kingdom (UK) yang telah dinaikkan pada 7 November 2022.

Selain itu ia melibatkan kenaikan RM100 kadar ESH sebulan bagi pelajar tajaan JPA di dalam negara mengikut peringkat pengajian.

"Kenaikan kadar ESH ini melibatkan pertambahan implikasi kewangan dengan anggaran RM52.03 juta bagi tempoh enam bulan mulai Julai ini, yang akan memanfaatkan 43,595 orang pelajar tajaan JPA.

"Kenaikan kadar ESH ini merupakan salah satu usaha kerajaan bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang tinggi khususnya dalam kalangan pelajar-pelajar B40 yang tinggal di bandar-bandar besar negara pengajian,” katanya.

Perdana Menteri berkata. inisiatif semakan semula kadar ESH ini akan membolehkan pelajar tajaan kerajaan memberi fokus kepada pencapaian kecemerlangan akademik tanpa memikirkan bebanan kewangan pengajian, di samping memastikan penawaran penajaan kerajaan adalah kekal releven dan berprestij. - Bernama