Tiada kejadian sorok minyak peket, jual kepada warga asing - Fuziah

Fuziah. Gambar kanan: Video tular di media sosial pada Khamis.
Fuziah. Gambar kanan: Video tular di media sosial pada Khamis.
A
A
A

RAWANG - Tiada aktiviti menyorok minyak masak peket untuk di jual kepada warga asing seperti dakwaan menerusi video tular yang berlaku di sebuah pasar raya beberapa hari lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati berlaku salah faham dalam insiden tersebut.

Menurutnya, minyak peket yang diletakkan di bawah kaunter itu merupakan lebihan daripada pembeli yang mengambil barang subsidi itu melebihi had ditetapkan.

"Had pembelian adalah tiga peket, ada pembeli ambil lebih daripada itu maka pekerja ambil lebihan itu dan letak di kaunter sebelum ada pembeli (selepas itu) minta untuk beli.

"Yang menjadi isu kepada netizen ialah pembeli tersebut bukan warganegara, jadi berlaku salah faham (dakwa pekerja sorok untuk jual minyak peket warga asing)," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan semula Pasaraya Giant dekat sini pada Jumaat.

Pada Khamis tular video dakwaan beberapa pekerja warga asing di pasar raya itu didakwa menyimpan stok minyak peket tersebut di bawah kaunter untuk diberikan kepada rakan senegaranya.

Video berkenaan menimbulkan kemarahan pengguna yang berdepan masalah bekalan minyak peket yang terhad dan kerap kehabisan stok.

Fuziah berkata, minyak peket merupakan barang subsidi yang dikeluarkan sebanyak 60,000 metrik tan sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam undang-undang kita tiada disebut warga asing tidak boleh beli barang kawalan jadi kita tak boleh sekat.

"Setakat ini kita tiada halangan akan tetapi kerajaan sedang dalam perancangan ke arah itu. Kita sasarkan untuk memulakan tahun depan beralih daripada subsidi pukal ke subsidi bersasar," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini tiada garis panduan sekatan terhadap warga asing dan tiada dasar yang menyebut arahan sedemikian.

"Akan tetapi jika kita buat subsidi bersasar, kita sudah kenal pasti golongan yang tidak wajar menerima minyak peket.

"Mereka yang layak adalah B40, M40 dan kumpulan peniaga mikro yang sebelum ini tidak termasuk dalam kategori tersebut namun kita tidak mengambil tindakan kerana tahu mereka memerlukan.

"Jadi ke hadapan, kita ambil keputusan peniaga mikro akan dimasukkan dalam senarai layak menerima subsidi bersasar," katanya.

Beliau turut menjelaskan, besar kemungkinan minyak bersubsidi itu tidak lagi diletakkan di rak pasar raya selepas subsidi bersasar dilaksanakan.

"Kerajaan sedang bangunkan mekanisme, jika buat pukal perlu pastikan mereka yang tidak layak, tidak beli minyak subsidi ini.

"Mekanisme ini sedang difikirkan bagi memudahkan pengguna dan kementerian buat kawalan serta pemantauan," ujarnya.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, kementerian melihat ada keperluan menambah bilangan kuota sedia ada bagi program Jualan Rahmah khususnya yang diadakan di kawasan kampung serta Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Bagaimanapun katanya, perkara itu belum lagi diluluskan kabinet.