Kelantan rekod sejarah, miliki ladang durian musang king terbesar

Mohamed Fadzli (kiri) ketika Majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of Records kepada pihak Sindiyan yang dinobatkan sebagai ladang durian Musang King terbesar di Malaysia. - Foto Awani
Mohamed Fadzli (kiri) ketika Majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of Records kepada pihak Sindiyan yang dinobatkan sebagai ladang durian Musang King terbesar di Malaysia. - Foto Awani
A
A
A

GUA MUSANG - Negeri Kelantan merekodkan sejarah baharu apabila memiliki ladang durian musang king terbesar di negara ini yang berkeluasan hampir 3,000 hektar di kawasan Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, ladang milik Sindiyan Plantation Sdn Bhd (Sindiyan) itu dilihat mampu membawa nama Kelantan di pentas luar negara terutama Asia sebagai pengeluar utama musang king pada masa hadapan.

Menurutnya, musang king berasal dari Kelantan dan rakyat mengenalinya sebagai Raja Kunyit.

"Kita rancang dengan Sindiyan untuk buat agropelancongan di sini.

Tempatnya sangat cantik dan mungkin satu masa nanti orang Kelantan dan rakyat Malaysia boleh datang ke sini untuk menikmati apa sahaja yang berasal dari durian.

"Durian segar, kuih-kuih diperbuat daripada durian, aiskrim durian dan minuman perasa durian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengiktirafan ‘Malaysia Book Of Records’ kepada pihak Sindiyan yang dinobatkan sebagai ladang durian musang king terbesar di Malaysia di Tanah Tinggi Lojing, pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Hernan Corporation Sdn Bhd, Datuk Anna Teo berkata, Ladang Sindiyan kini adalah ladang durian terbesar dalam negara apabila mempunyai lebih 200,000 pokok durian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejak tahun 2016 pihaknya sudah memulakan pelbagai kaedah untuk menanam dan akhirnya berjaya mengembangkan tanaman berkenaan.

"Memang ini rancangan kita sebab kebanyakan orang bekerja di Kuala Lumpur atau di luar negara, mereka tidak pernah makan durian di bawah pokok.

"Kita mahu membawa mereka datang ke sini untuk makan durian bersama keluarga mereka dan makan dalam suasana yang memang selesa.

"Sekarang kita mahu menamakan durian kita Lojing, Kelantan kerana cuaca panas dan segala yang membantu mendapatkan kualiti yang bertaraf dunia," katanya.

Tambahnya, usahasama Ladang Sindiyan dan Syarikat Hernan Corporation Sdn Bhd juga menyasarkan untuk menghasilkan 60,000 tan metrik durian setiap tahun.

Katanya, sebagai pengeksport dan pengeluar terbesar durian dan produk berasaskan durian, syarikat itu telah mengembangkan operasi di peringkat global untuk memenuhi permintaan durian di luar negara seperti Australia, China, Kanada, Indonesia, Jepun, Belanda, United Kingdom dan Amerika Syarikat. - Awani