Durian premium Kampung Teluk Ira jadi buruan

Abd Manan bersama durian Jok Bilang yang ditanam oleh bapanya sejak lebih 30 tahun lalu
Abd Manan bersama durian Jok Bilang yang ditanam oleh bapanya sejak lebih 30 tahun lalu
A
A
A

TEMERLOH - Durian kampung premium baharu dari Kampung Teluk Ira, jok bilang kini menjadi antara buruan penggemar raja buah tersebut.

Rasanya yang lemak manis, pahit dan kuning keemasan serta isi tebal menyebabkan jok bilang yang dinobatkan di tempat kedua kategori durian kampung premium peringkat daerah berada dalam kelas tersendiri.

Bagaimanapun, Abd Manan Ishak, 65, berkata, untuk menikmati varieti tersebut bukan mudah memandangkan hanya ada satu pokok yang ditanam oleh bapanya, Ishak Sulaiman di Kampung Teluk Ira di sini sejak lebih 30 tahun lalu.

"Setiap kali buah gugur, ia sudah ditempah oleh pelanggan dan dijual pada harga RM30 sekilogram.

"Jadi memang tak dapat nak bawa jual ke mana-mana semua sudah siap ditempah pelanggan, itu pun ramai tak dapat sebab kali ini tak banyak, dalam 70 hingga 80 biji saja," kata beliau pada Isnin.

Ujar Abd Manan, durian jok bilang bercirikan berbentuk bujur, berduri kasar, dan saiz buah kebiasaannya secara purata seberat dua kilogram (kg) sehingga 3kg.

Abd Manan memberitahu, durian itu ditanam daripada bijinya yang diperoleh daripada penduduk Orang Asli.

"Pokok ini mula mengeluarkan hasilnya sejak 15 tahun lalu dan ramai juga mendakwa rasanya lebih sedap daripada musang king.

Artikel Berkaitan:

"Nama buah ini pula berasal daripada perkataan Orang Asli iaitu maksudnya terbilang," jelas Abd Manan sambil memberitahu beliau kini berusaha menambahkan lagi bilangan pokok durian itu menerusi kaedah cantuman.