Garis panduan pembangunan tapak pelancaran angkasa dibangunkan

Lih Kang bercakap pada sidang media selepas melancarkan Sistem Maklumat Bencana (MyIDEA) di MySA Spacetech Showcase 2023 di Agensi Angkasa Malaysia (MySA) hari ini. - Foto Bernama
Lih Kang bercakap pada sidang media selepas melancarkan Sistem Maklumat Bencana (MyIDEA) di MySA Spacetech Showcase 2023 di Agensi Angkasa Malaysia (MySA) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia sedang membangunkan garis panduan kajian kebolehlaksanaan pembangunan tapak pelancaran ke angkasa lepas, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) percaya, Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk turut terlibat dalam pembangunan kemudahan pelancaran angkasa lepas (space launching facility).

Beliau berkata, keunikan geografi Malaysia yang terletak berhampiran garisan Khatulistiwa memberikan kelebihan kepada negara untuk membangunkan perkhidmatan fasiliti pelancar dengan kos operasi yang jauh lebih kompetitif.

"Jika menjadi realiti, kemudahan yang dibangunkan akan menjadi yang ke-16 di dunia dan akan meletakkan Malaysia menjadi negara kesembilan memiliki fasiliti tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lih Kang berkata, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), yang membangunkan garis panduan kajian kebolehlaksanaan itu, sedang mengadakan sesi libat urus dengan beberapa pihak dan industri yang berminat untuk membangunkan kemudahan itu.

Beliau berkata, penglibatan kerajaan dalam industri tersebut dianggarkan akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi angkasa dengan nilai RM10 bilion menjelang 2030, di samping pertumbuhan 500 syarikat pemula teknologi berkaitan angkasa, seterusnya mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan.

Lih Kang berkata, MOSTI juga sedang merangka Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) menerusi strategi perkongsian awam dan swasta (Public Private Partnership) yang dijangka bermula pada 2026.

"Program ini adalah penting bagi memastikan kesinambungan pemilikan data-data strategik negara yang mana ia turut menyokong keberkesanan operasi 50 buah pakej sistem aplikasi yang telah dibangunkan MYSA,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: