PH Muar tuntut Syed Saddiq kosongkan kerusi Parlimen Muar

Abdullah (duduk, tengah) mengadakan sidang akhbar menggesa Syed Saddiq mengosongkan kerusi Parlimen Muar di Galeri Seni Muar Khamis.
Abdullah (duduk, tengah) mengadakan sidang akhbar menggesa Syed Saddiq mengosongkan kerusi Parlimen Muar di Galeri Seni Muar Khamis.
A
A
A

MUAR - Pakatan Harapan (PH) Muar menggesa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengosongkan kerusi Parlimen Muar agar mandat dapat diserahkan semula kepada rakyat bagi membolehkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan.

Setiausaha PH Muar, Abdullah Sahid berkata, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu perlu berbuat demikian dan bertanding atas kapasiti Muda sendiri tidak seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dibantu PH.

"Syed Saddiq tidak perlu ragu-ragu mengosongkan kerusi Muar sekiranya yakin boleh memenangi semula kerusi ini atas kapasiti Muda.

"Ayuh kita serahkan semula pada rakyat Muar untuk memilih pemimpin tempatan yang benar- benar membawa aspirasi pengundi Muar yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan berganding bahu dalam Kerajaan Perpaduan untuk perubahan Malaysia ke arah yang lebih baik," kataya ketika sidang akhbar di Galeri Seni Muar di sini pada Khamis.

Pada Ahad, Muda memaklumkan akan bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga sekali gus menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Syed Saddiq menjelaskan, pemberitahuan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat yang diutuskan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Abdulllah berkata, tindakan Syed Saddiq keluar daripada Kerajaan Perpaduan ketika negara perlukan kestabilan politik bagi memperbaiki kerosakan yang telah berlaku amat tidak wajar.

Dakwanya, Muda sanggup mengambil jalan seperti pihak pembangkang yang berpolitik dan menggugat kestabilan negara demi kepentingan peribadi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan (DNAA), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid hanya alasan politik separa matang yang hipokrit diberikan Syed Saddiq bagi merasionalkan tindakannya yang gopoh dan bercelaru.

Katanya, tindakan Syed Saddiq keluar daripada Kerajaan Perpaduan amat menggores hati dan ibarat kacang lupakan kulit, malah penat lelah dan pengorbanan seluruh jentera PH di Muar seperti habis madu, sepah dibuang.

"Kami mewakili 19,961 pengundi Muar dan parti komponen PH iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP yang telah memberikan sokongan pada Syed Saddiq pada PRU15 lepas merasa cukup kecewa terhadap keputusan beliau yang jelas mengkhianati mandat rakyat.

"Kehadiran Syed Saddiq selaku orang luar yang merupakan pengundi DUN (Dewan Undangan Negeri) Perling di Parlimen Pulai sejak 2018 telah kami tatang ibarat minyak yang penuh oleh PH Muar selaku rakan sekutu Kerajaan Perpaduan," katanya.

Abdullah berkata, pihaknya percaya Syed Saddiq menang pada PRU15 bukan atas merit dan kekuatan Muda tetapi atas dasar sokongan serta dukungan seluruh kekuatan PH Muar.

"Ini dibuktikan dengan data PRN (pilihan raya negeri) di enam negeri yang lalu bahawa MUDA hilang deposit di semua 19 DUN yang ditandingi. Sekiranya MUDA bertanding di Muar tanpa dokongan PH akan memperoleh nasib yang sama. Hilang Deposit," katanya.

Tambahnya, pengundi Muar bijak memilih dan mereka memilih bukan kerana Syed Saddiq sebaliknya gagasan reformasi yang dipimpin oleh Anwar dan PH telah bertapak di Muar sejak 1999 lagi.