Hasil padi di Selangor rekod pengeluaran terburuk

Izham (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada pemenang pada Hari Inovasi Pertanian Selangor 2023 di Kompleks Pejabat Pertanian Kuala Selangor pada Khamis.
Izham (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada pemenang pada Hari Inovasi Pertanian Selangor 2023 di Kompleks Pejabat Pertanian Kuala Selangor pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Tanaman padi tahun lalu di Selangor merekodkan hasil pengeluaran paling buruk iaitu hanya tiga hingga empat tan metrik sehektar.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, antara punca hasil padi pengeluaran berkurangan disebabkan serangan penyakit dan faktor lain.

Menurutnya, hasil padi di Sekinchan sahaja mencatatkan purata pengeluaran melebihi empat tan metrik semusim.

"Pengeluaran padi di Selangor merekodkan pengeluaran rendah dan ia bukan berlaku di Selangor sahaja tetapi seluruh negara dan dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Hari Inovasi Pertanian Selangor 2023 di Kompleks Pejabat Pertanian Kuala Selangor di sini pada Khamis.

Ditanya adakah Selangor bersedia melaksanakan penanaman padi lima kali dalam dua tahun bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi, Izham berkata, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu dengan Jabatan Pertanian Selangor dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Beliau memberitahu, pihaknya perlu melihat kesesuaian tanaman itu terlebih dahulu di negeri ini.

"(Tanaman padi lima kali dua tahun) bukanlah perkara baru cuma perkara belum sesuai disebabkan beberapa isu kerana sebelum projek ini dilaksanakan kita perlu lihat dari segi penggunaan benih padi dan perawatan tanah.

Artikel Berkaitan:

"Kita bimbang apabila projek ini dilaksanakan nanti dan jika tiada perawatan tanah dibuat, kawasan tanaman bertambah tidak subur," jelasnya.

Selain itu, katanya, projek lima musim itu juha memerlukan sistem saliran lebih sistematik dan terancang.

"Penggunaan benih juga menjadi isu kerana pada masa sekarang, pesawah menggunakan benih bercampur di setiap kawasan tanaman.

"Jika kita ingin melaksanakan, projek itu juga, maka ia perlu dilaksanakan mengikut blok sawah dan memastikan bekalan air mencukupi," tambahnya.

Dalam pada itu, Izham berkata, industri padi memerlukan inovasi baharu bagi memastikan pengeluaran bekalan beras negara terus mencukupi.

Katanya, beberapa negara mula menghentikan eksport beras dari negara mereka termasuk India dan ini memberi kesan kepada keperluan itu di negara ini.

"Selangor memerlukan inovasi baru dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (RnD) bagi menghasilkan padi bermutu dan pengeluaran lebih baik pada masa depan," jelasnya.