Masa untuk tingkatkan hasil padi negara

Sudah tiba masanya Malaysia terus meningkatkan pengeluaran padi dan memanfaatkan sebaik mungkin tanah pertanian agar kebergantungan kepada negara luar dapat dikurangkan. Gambar hiasan
Sudah tiba masanya Malaysia terus meningkatkan pengeluaran padi dan memanfaatkan sebaik mungkin tanah pertanian agar kebergantungan kepada negara luar dapat dikurangkan. Gambar hiasan
A
A
A

KENAIKAN harga beras import ketika ini seperti yang dilaporkan menyebabkan permintaan terhadap beras tempatan meningkat.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan di beberapa negeri mendapati bekalan tersebut sukar didapati di pasaran dan pengguna mula mengeluh.

Namun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Selasa menjangkakan bekalan beras putih tempatan (BPT) akan pulih dalam tempoh sebulan susulan langkah intervensi yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Ia selepas langkah intervensi melalui Program Khas BPT akan meningkatkan lebih 20 peratus kuota pengeluaran beras di pasaran di seluruh negara.

Beliau turut memberi jaminan berterusan akan dilakukan melalui kolaborasi bersepadu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Op Jamin.

Apa yang diharapkan bekalan beras Super Special Tempatan (SST) 10 kilogram (kg) akan mencukupi bagi bekalan rakyat selain harganya kekal sama seperti semasa iaitu RM26.

Begitu juga dengan penguatkuasaan dijalankan diharap dapat membanteras pengilang yang didakwa menukar label beras tempatan kepada kampit beras import demi mengejar keuntungan.

Bercerita tentang penanaman padi di negara ini sebenarnya hasil padi merosot sehingga lebih 300,000 tan metrik dalam tempoh enam tahun sejak tahun 2015 di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Mungkin sudah tiba masanya Malaysia terus meningkatkan pengeluaran padi dan memanfaatkan sebaik mungkin tanah pertanian agar kebergantungan kepada negara luar dapat dikurangkan.

Mohamad Sabu juga optimis usaha penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun dapat dilaksanakan pesawah di negara ini, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pengeluaran beras negara.

Dalam hal ini, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) perlu berperanan memberi tunjuk ajar kepada pesawah.

Bagaimanapun beberapa aspek dalam industri penanaman padi perlu dinaik taraf terlebih dahulu seperti punca bekalan air dan benih berkualiti.

Selain itu isu baja dan racun juga perlu menjadi agenda utama pihak berkepentingan untuk diselesaikan.

Dalam masa yang sama, perlu ada satu gerakan untuk menggalakkan lebih ramai generasi muda turut serta dalam industri ini kerana tidak ramai berminat kerana faktor bekerja di tengah panas selain pendapatan tidak menentu.