[VIDEO] Tiga lelaki tidak mengaku rogol adik ipar rakan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan merogol adik ipar rakan secara bergilir-gilir, dua minggu lalu.

Dua beradik, Nik Mohammad Rahimin Mat Zaid, 33 dan Nik Khaira Hafizi, 28, serta Mohd Zulhilmi Zainuddin, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Norina Zainol Abidin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merogol seorang wanita berumur 26 tahun di sebuah unit pangsapuri di Seksyen 2, Wangsa Maju, antara jam 2 hingga 3.30 pagi, 30 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub membantah sekiranya tiga tertuduh ini diberi ikat jamin.

“Kes yang dipertuduhkan ini sangat serius kerana melibatkan jenayah rogol berkumpulan, lebih tiga lelaki.

“Sekiranya ikat jamin diberi, pihak pendakwaan bimbang mereka mungkin tidak akan hadir ke mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, semua tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dilepaskan dengan ikat jamin.

Artikel Berkaitan:

Nik Mohammad Rahimin yang bekerja sebagai mekanik berkata, dia mempunyai penyakit darah tinggi, jantung, radang paru-paru dan tulang belakang malah perlu menjaga lima anak berusia enam bulan hingga 12 tahun.

Suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas satu pertuduhan merogol adik ipar rakan secara bergilir-gilir, dua minggu lalu.
Suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas satu pertuduhan merogol adik ipar rakan secara bergilir-gilir, dua minggu lalu.

Nik Khaira Hafizi dan Mohd Zulhilmi yang bekerja di kedai makan pula berkata, mereka perlu menjaga masing-masing tiga anak berusia setahun hingga lapan tahun.

Selepas mendengar permohonan daripada kesemua pihak, Norina tidak membenarkan tiga tertuduh terbabit diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 12 Oktober depan.

Pada 5 September lalu, media melaporkan faktor melangsaikan hutang dipercayai mendorong lelaki membenarkan rakan merogol adik iparnya bergilir-gilir di kediaman di Wangsa Maju.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan polis mendapati abang ipar mangsa berusia 29 tahun itu berhutang dengan seorang suspek yang masih bebas.

Sebelum ini, mangsa yang sedang tidur dikatakan 'diserang' lima lelaki sebelum diperkosa secara bergilir-gilir dalam kejadian jam 3.30 pagi, 30 Ogos lalu.

Wanita itu turut diikat tangan dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat oleh suspek yang turut merakam kejadian itu.