Seorang lagi suspek rogol bergilir diberkas, tiga masih diburu

Laporan Sinar Harian pada 31 Ogos lalu.
Laporan Sinar Harian pada 31 Ogos lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lagi lelaki diberkas di Taman Melawati, Ampang, pada Khamis, untuk siasatan kes rogol bergilir-gilir babit mangsa wanita berusia 27 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, suspek berusia 32 tahun itu telah direman tujuh hari.

"Suspek direman sehingga 14 September depan untuk siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan seorang penganggur yang juga abang ipar mangsa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan bersubahat dalam kejadian rogol bergilir-gilir adik iparnya di sebuah rumah di Wangsa Maju, 30 Ogos lalu.

Lelaki berusia 29 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi.

Sebelum itu, abang ipar mangsa telah diberkas polis di Wangsa Maju pada jam 11.30 malam, Sabtu lalu.

Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai sanggup 'menjual' maruah adik iparnya kepada suspek kejadian rogol itu, kerana mahu melunaskan hutang.

Artikel Berkaitan:

Mangsa telah diperkosa lima lelaki di rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, kira-kira jam 3.30 pagi.