Nelayan, petani dan pengusaha lembu sado masih terpinggir - Mohd Shahir

Mohd Syahir ketika sesi perbahasan di Parlimen pada Selasa.
Mohd Syahir ketika sesi perbahasan di Parlimen pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Banyak lagi kemudahan di daerah Bachok yang masih tidak dinaik taraf selain kekurangan sokongan agensi kerajaan terhadap ekonomi rakyat.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Shahir Che Sulaiman berkata, pengusaha lembu sado, nelayan dan petani di daerah itu juga masih terpinggir walaupun mereka menunjukkan usaha menjana ekonomi.

"Jangan dianaktirikan Kelantan amnya dan Bachok khasnya. Mereka memerlukan sokongan jabatan berkaitan bagi membolehkan impak lebih baik terhadap usaha itu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas susulan perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Parlimen pada Selasa.

Menurut Mohd Shahir, agensi berkenaan termasuk Jabatan Pertanian, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta bekerjasama memantau keadaan kemudahan utama di daerah itu.

"Turaplah jalan-jalan desa yang masih berdebu, sokonglah nelayan, petani dan pengusaha lembu sado di Bachok serta jenguklah sekolah daif.

"Peruntukan telah tersedia di bawah setiap agensi kerajaan Persekutuan itu dan kita mohon supaya diteruskan serta dipertingkatkan sahaja," jelas beliau.

Mohd Shahir juga yakin dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berlaku adil kepada semua negeri termasuk Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Melalui perbahasan itu juga, Ahli Parlimen berkenaan turut memberi pendapat bahawa penyelesaian kepada kemiskinan ini perlu meluas dan menyeluruh

"Usaha kerajaan untuk meningkatkan, mempelbagai dan melindungi pendapatan golongan miskin perlu dipergiatkan, dan kami di daerah miskin termasuk Bachok menyambut baik program pembasmian kemiskinan," katanya.