Cadang prosiding pemisahan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya

William Leong Jee Keen
William Leong Jee Keen
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi mencadangkan prosiding bagi pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan serta perundangan yang berkaitan dilaksanakan.

Pengerusinya, William Leong Jee Keen berkata, cadangan itu bagi mengkaji dan memperhalusi semula kes-kes berprofil tinggi untuk penjelasan lanjut serta memastikan keadilan perlu segera ditegakkan.

Antara kes yang memerlukan penelitian semula termasuk pembatalan notis rayuan oleh Mahkamah Rayuan terhadap kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pembatalan pertuduhan Mahkamah Tinggi terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melibatkan empat pertuduhan predikat di bawah seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Selain itu kes terbaru pemberhentian prosiding perbicaraan bagi semua pertuduhan dengan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kes-kes seperti ini memberikan persepsi negatif bahawa terdapat campur tangan Jabatan Peguam Negara oleh pihak tertentu dan pertimbangan berbeza terhadap kes berprofil tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, jawatankuasa berkenaan akan memanggil bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun serta Peguam Negara baharu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bagi memberikan penjelasan susulan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.

Mengulas lanjut, William berkata, prosiding tersebut telah diperuntukan di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan tidak dipersoal oleh mana-mana pihak.

Ujarnya, antara individu yang akan dipanggil termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan pasukan peguam yang mewakili Ahmad Zahid.

Artikel Berkaitan:

“Prosiding ini adalah tertakluk di bawah Terma Rujukan Nombor III yang menggariskan bahawa jawatankuasa berhak menyiasat dan melaporkan perkara berkaitan hak asasi manusia, pilihan raya serta reformasi institusi oleh mana-mana kementerian termasuk agensi di bawahnya yang difikirkan sesuai.

“Kami berharap agar prosiding ini dapat memberi peluang kepada semua pihak yang berkaitan untuk memberi keterangan dengan lebih terperinci dalam membantu memberikan syor kepada kerajaan dalam usaha ke arah reformasi institusi,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Zahid: Bekas Peguam Negara, Peguam Negara akan dipanggil