'Kes Zahid jelas konflik Jabatan Peguam Negara, Pendakwa Raya digabungkan'

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah contoh jelas konflik yang timbul apabila Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya digabungkan bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh berkata, terdapat mekanisme semak dan imbang yang terhad untuk memastikan keputusan melantik Peguam Negara-Pendakwa Raya yang mempunyai kuasa budi bicara yang luas untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding oleh Perdana Menteri, bebas daripada kepentingan politik.

“IDEAS menzahirkan kebimbangan terhadap situasi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri bagi kes rasuah Yayasan Akalbudi. DNAA menimbulkan kebimbangan atas beberapa sebab.

“Pertama, individu berkenaan memegang jawatan awam yang tinggi. Kes ini mengandungi kepentingan awam yang ketara, maka memerlukan tahap ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam semua perkara yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, Hakim Datuk Colin Lawrence Sequerah memutuskan pada Januari tahun lalu bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, yang bermakna beliau kemudiannya bertanggungjawab untuk membuktikan dia tidak bersalah.

Katanya, untuk memohon diberikan DNAA pada peringkat ini, di mana pendakwaan telah ditarik balik dan dihentikan atas sebab penyiasatan lanjut harus dibuat, boleh menimbulkan persoalan.

“Inilah sebabnya mengapa Peguam Negara yang juga pendakwa raya tertinggi di negara ini, mesti menjelaskan keputusan ini kepada orang ramai.

“Peguam Negara juga harus menyediakan garis masa yang pasti untuk melengkapkan siasatan lanjut dan pertanyaan yang dikemukakan sebagai alasan pengguguran itu,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Tricia, hakikat bahawa tempoh jawatan Peguam Negara berakhir pada Selasa juga menimbulkan persoalan tentang siapa yang harus bertanggungjawab dan siapa yang harus memberikan penjelasan kepada orang ramai.

Sedangkan katanya, maklumat yang betul dan terperinci perlu diberikan kepada orang ramai.

“Memandangkan iklim politik semasa yang sangat panas, orang ramai pasti akan membuat spekulasi mengenai sebab di sebalik keputusan ini.

“Itulah sebabnya saya menggesa Peguam Negara untuk menjelaskan keputusan ini dan memberikan kejelasan kepada orang ramai. Ketelusan adalah sangat penting untuk mengelakkan timbulnya sebarang spekulasi,” ujar beliau.

Justeru katanya, pengasingan kuasa akan membolehkan Pendakwa Raya bertindak demi kepentingan awam manakala Peguam Negara sebagai sebahagian daripada kabinet akan terus menasihati kerajaan mengenai hal ehwal undang-undang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwaan mahu hentikan prosiding kes terhadap Ahmad Zahid

Kes Zahid: Muda adakan mesyuarat tergempar - Syed Saddiq

Kes Zahid: Rasuah Busters tuntut kerajaan kotakan kata

Kes Zahid: Pimpinan Kerajaan Perpaduan perlu nyatakan pendirian - Muda

Kes Ahmad Zahid: Gerakan tuntut penjelasan

Kes Zahid: Muhyiddin persoal tindakan Peguam Negara

Idrus Harun diminta beri penjelasan kes Ahmad Zahid - Anthony Loke