Semakan hukuman mati, penjara seumur hidup perlu difail tempoh tiga bulan

Ramkarpal Singh. Foto: Bernama
Ramkarpal Singh. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 1,020 banduan yang dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara seumur hidup perlu memfailkan permohonan untuk menyemak semula hukuman berkenaan dalam tempoh tiga bulan di Mahkamah Persekutuan, bermula hari ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.

Beliau berkata, pemfailan notis usul dan afidavit sokongan untuk permohonan semakan, kini akan dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia kepada mahkamah dan permohonan penyemakan hukuman itu, hanya boleh dilakukan sekali sahaja.

"Permohonan semakan itu boleh dilakukan secara manual atau melalui sistem e-Filing kepada mahkamah dalam tempoh 90 hari, bermula tarikh kuat kuasa Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847), pada hari ini.

"Namun, mahkamah boleh mempertimbangkan pelanjutan tempoh untuk mengemukakan permohonan semakan tertakluk kepada alasan munasabah,” katanya semasa Taklimat Pelaksanaan Proses Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia di sini pada Selasa.