Andansura mahu kerajaan timbang semula arahan tutup fasiliti Lynas

Kilang Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng. Gambar kecil: Andansura
Kilang Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng. Gambar kecil: Andansura
A
A
A

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu mengalu-alukan langkah kerajaan untuk membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi (REE) bagi membolehkan negara mendapat pulangan yang maksimum.

Bagaimanapun beliau meminta supaya kerajaan mempertimbangkan semula arahan penutupan fasiliti pengasingan bahan nadir bumi Lynas di Gebeng.

"Saya sokong penuh rancangan PMX, tapi jangan buat tindakan bertentangan dengan rancangan.

"Pelik bila kerajaan berhasrat membangunkan industri nadir bumi tetapi dalam masa sama menutup fasiliti sedia ada yang boleh dimanfaatkan," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara tersebut ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat iaitu industri tersebut dijangka mampu menyumbang hampir RM10 bilion kepada Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) menjelang 2025 serta mampu menawarkan kira-kira 7,000 peluang pekerjaan.

"Apa yang dinyatakan oleh PMX tentang potensi industri nadir bumi di negara ini telah saya ajukan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang dalam surat saya pada bulan Mac lalu.

"Surat tersebut turut dihantar salinannya kepada Menteri Besar Pahang dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang," tambah Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang.

Andansura menjelaskan dalam surat tersebut, beliau memohon menteri terbabit mempertimbangkan semula arahan kerajaan kepada syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk menutup fasiliti pemecahan dan larut lesap di kilangnya di Gebeng.

Artikel Berkaitan:

"Saya ketengahkan bahawa arahan penutupan tersebut bukan sahaja akan menyebabkan ratusan pekerja tempatan kehilangan kerja malah juga boleh menjejaskan potensi ekonomi dalam industri nadir bumi di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu pada sidang Parlimen lalu, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mendedahkan bahawa Malaysia memiliki simpanan lebih 16 juta tan bahan mentah nadir bumi yang bernilai lebih RM800 bilion.

Ujar beliau, sebanyak 29 lokasi telah dikenal pasti di Kedah, Kelantan, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Jelas beliau, ketika kini, China mendominasi bekalan bahan nadir bumi dunia yang diperlukan untuk pengeluaran produk pertahanan, telekomunikasi, pengangkutan dan elektronik.

"Infrastruktur Lynas di Gebeng, Kuantan pula merupakan satu-satunya fasiliti yang disifatkan sebagai loji pengasingan nadir bumi terbesar dan paling moden di luar China.

"Oleh itu, bertepatan dengan langkah kerajaan yang diumumkan semalam saya utarakan sekali supaya kerajaan mempertimbangkan semula arahan penutupan fasiliti pengasingan bahan nadir bumi Lynas di Gebeng," kata Andansura.

Tambah Andansura, beliau yakin ia keputusan strategik yang boleh membantu rancangan pembangunan industri nadir bumi negara ini dalam jangka pendek dan panjang selain menyelamatkan nasib ratusan pekerja tempatan serta memelihara ratusan juta nilai kitaran ekonomi sedia ada.

"Bukankah kerajaan PH-BN sudah berulang kali akhirnya mengekalkan dasar, langkah dan keputusan kerajaan terdahulu walaupun berpendirian sebaliknya ketika kempen pilihan raya? Jadi apalah kiranya melakukan perkara yang sama juga kali ini," jelas beliau.