RMK12: Pengurusan kawasan perlindungan diperkemas, lindungi biodiversiti negara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rangka kerja kebangsaan untuk memperkukuhkan pengurusan kawasan perlindungan, dalam usaha melindungi biodiversiti serta memulihara ekosistem, spesies dan kepelbagaian genetik di Malaysia akan dibangunkan dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menurut Kajian Separuh Penggal RMK12 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, antara perkara yang akan dilaksanakan ialah pewartaan kawasan perlindungan baharu dan penggalakan kepada negeri di Semenanjung untuk menambah kawasan berhutan kepada 50 peratus menjelang 2040, selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat.

"Kerajaan negeri akan melaksanakan moratorium ke atas kelulusan pembangunan ladang hutan yang baharu dalam kawasan Hutan Simpan Kekal di Semenanjung bagi tempoh 15 tahun,” menurut dokumen itu.

Langkah itu antara tumpuan kepada usaha melonjakkan kemampanan negara dalam menangani perubahan iklim dan cabaran alam sekitar yang lain, termasuk dalam sektor tenaga dan air yang digariskan dalam hala tuju 2023-2025 RMK12.

Pelan rangka tindakan bagi memperkukuhkan perancangan peluasan kawasan perlindungan marin (MPA) akan disiapkan pada 2024, selain satu sistem yang menggabungkan data mengenai ekosistem marin dan biodiversiti bagi mengenal pasti lokasi yang berpotensi untuk rmewujudkan koridor MPA, akan siap dibangunkan pada 2025.

Selain itu, bagi memperkasakan perlindungan dan pemuliharaan spesis serta sumber genetik, kerajaan akan membangunkan sistem permit elektronik seperti yang termaktub dalam ‘Convention on International Trade in Endangereed Species of Wild Fauna and Flora’ serta meneroka penggunaan teknologi kecerdasan buatan dalam aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan.

Akta Perikanan 1985 akan disemak semula dengan peruntukan baharu yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan penilaian impak pembangunan di persisir pantai kepada perikanan dan pengawalseliaan aktiviti pemunggahan di laut.

Semakan berkenaan akan melibatkan penambahbaikan ke atas peruntukan perundangan bagi taman laut dan peningkatan penalti, terutama bagi kesalahan berkaitan habitat dan spesies marin.

Artikel Berkaitan:

Mengenai biokeselamatan, kerajaan menyasar untuk meraktifikasi ‘Nagoya-Kuala Lumpur Supplementary Protocol on Liability and Redress’ dan membangunkan rangka kerja kawal selia yang menyeluruh bagi pengurusan biokeselamatan yang berkesan pada 2025, di samping menyemak semula Akta Biokeselamatan 2007 bagi menangani isu berkaitan bioteknologi termaju, termasuk melalui pelabelan produk organisma hidup yang diubah suai (LMO).

Bagi memastikan aset semula jadi diguna secara mampan, kerajaan akan mengkaji semula Dasar Mineral Negara 2 untuk menyediakan hala tuju yang lebih holistik dalam memacu pembangunan industri mineral, termasuk unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), bauksit, timah, silika dan kaolin.

"Kajian semula ini yang merupakan satu daripada inisiatif di bawah Anjakan Besar Industri Nadir Bumi akan memasukkan dasar mengenai aktiviti perlombongan dalam hutan simpan kekal, kawasan sensitif alam sekitar dan kawasan perlindungan,” menurut laporan itu.

Perkara itu penting kerana industri NR-REE dijangka mewujudkan 6,550 peluang pekerjaan dan menyumbang sejumlah RM9.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Pelan pembangunan dan pelaksanaan bagi geopark untuk menggiatkan semula subsektor mineral, menjana faedah ekonomi dan menggalakkan pemuliharaan sumber asli juga akan diperkenalkan.

Di samping itu, kerajaan turut akan mempeluaskan penilaian terhadap nilai ekonomi keseluruhan (TEV) bagi kawasan pesisir pantai di Semenanjung, selepas penilaian yang dilaksanakan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor selesai pada tahun ini.

Penilaian ini akan menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti dalam pemuliharaan ekosistem semula jadi bagi memastikan penggunaan yang mampan. - Bernama