UMT: Jungle School tarik minat Orang Asli ke sekolah

Jungle School' diadakan sebagai usaha menarik minat kanak-kanak Orang Asli Semaq Beri Kampung Sungai Berua, Kuala Bera
Jungle School' diadakan sebagai usaha menarik minat kanak-kanak Orang Asli Semaq Beri Kampung Sungai Berua, Kuala Bera
A
A
A

HULU TERENGGANU - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama beberapa pihak berkaitan mewujudkan 'Jungle School' sebagai usaha menarik minat kanak-kanak Orang Asli Semaq Beri Kampung Sungai Berua, Kuala Berang, dekat sini untuk pergi ke sekolah.

Timbalan Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari UMT, Profesor Dr Khatijah Omar berkata, pihaknya mempunyai kepakaran dan ruang untuk membantu komuniti Orang Asli agar tidak terus ketinggalan.

“Selain itu, kita sering berkerjasama dengan agensi-agensi dalam dan luar negara bagi mengadakan program berkaitan pembangunan kendiri kanak-kanak Orang Asli.

“Kita telah mengadakan beberapa siri program bersifat tanggungjawab sosial. Kali ini kita bawakan tema pendidikan dan kesihatan kepada masyarakat Orang Asli.

"Kita adakan aktiviti pemeriksaan kesihatan percuma, aktiviti pengenalan asas kepada 3M (Membaca, Menulis, Mengira), aktiviti mewarna serta pengenalan berkaitan penjagaan diri seperti cara gosok gigi dengan betul, penjagaan kebersihan diri dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Khatijah berkata, universiti mempunyai sumber daya akademik dan tenaga pengajar yang dapat berperanan dalam penyelidikan dan pembangunan masyarakat.

Menurutnya, menerusi jalinan kerjasama dengan masyarakat Orang Asli, universiti dapat membantu dalam menjalankan penyelidikan berkaitan dengan isu-isu komuniti seperti peningkatan pertanian, sistem pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Tema pendidikan dan kesihatan dibawakan kepada masyarakat Orang Asli.
Tema pendidikan dan kesihatan dibawakan kepada masyarakat Orang Asli.

Artikel Berkaitan:

“Setelah kita jalankan program pembangunan komuniti Orang Asli sejak 2015 meskipun tempoh masa yang agak lama, namun perubahan signifikan telah kita berjaya lihat pada hari ini.

"Usaha ini perlu diteruskan untuk hasil lebih baik pada masa akan datang," ujarnya.

Khatijah memaklumkan UMT berada pada landasan yang tepat dalam melaksanakan tanggungjawab membantu komuniti Orang Asli mengubah kehidupan ke arah lebih baik.

Jelas beliau, penganjuran program tanggungjawab sosial universiti di perkampungan Orang Asli adalah langkah positif bagi menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi komuniti tersebut.

"Universiti mempunyai peranan penting dalam memberi sokongan kepada perkampungan Orang Asli dengan menyediakan sumber daya, penyelidikan, pendidikan dan pemeliharaan budaya.

"Dengan melakukan perkongsian pengetahuan dan kerjasama yang berterusan, kita boleh membantu perkampungan Orang Asli untuk mencapai kehidupan lebih baik dan lebih seimbang dengan alam semula jadi mereka," ujarnya.