[VIDEO] Ponteng sekolah demi jaga ibu, ayah sakit kronik

A
A
A

KUALA KRAI - Seorang pelajar Tingkatan Dua dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai di sini, sanggup ponteng sekolah demi menjaga ibu dan ayah yang menghidap penyakit kronik.

Muhammad Adam Aizad Mazlan, 14, yang merupakan anak tunggal terpaksa berbuat demikian apabila ibunya, Rahayu Daud, 49, menderita penyakit buah pinggang tahap lima sejak lebih setahun lalu serta kencing manis dan darah tinggi.

Menurutnya, disebabkan itu kedua-dua belah mata ibunya tidak dapat melihat dengan jelas, manakala ayahnya, Mazlan Latif, 59, diserang angin ahmar pada Ogos tahun lalu.

"Ayah tidak dapat menggerakkan anggota badan sebelah kanannya dan hanya mampu terlantar di atas katil.

"Selain itu ayah juga bergantung sepenuhnya kepada lampin pakai buang serta hanya minum susu yang diberikan melalui saluran tiub dipasang di bahagian hidung," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Sebelum itu Muhammad Adam Aizad dan keluarga di Kampung Batu Jong di sini menerima kunjungan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang diwakili oleh Pengurus Besar, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

YBR telah menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM5,000 untuk kelangsungan keluarga berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Adam Aizad dari Kampung Batu Jong, Kuala Krai sanggup ponteng sekolah demi menjaga ibu dan ayah yang menghidap penyakit kronik
Muhammad Adam Aizad dari Kampung Batu Jong, Kuala Krai sanggup ponteng sekolah demi menjaga ibu dan ayah yang menghidap penyakit kronik

Dia memberitahu, selain angin ahmar, ayahnya juga menghidap kencing manis, jantung serta darah tinggi dan memerlukan penjagaan rapi.

Katanya, walaupun terpaksa ponteng sekolah serta banyak mengorbankan masa serta usia remajanya dengan mengabdikan diri kepada ibu ayah namun Muhammad Adam Aizad tidak pernah merasa terbeban.

Malah pelajar tingkatan dua itu, gembira dapat menjalankan tanggungjawab sebagai anak.

Ujar Muhammad Adam Aizad masanya dibahagikan sebaik mungkin antara menguruskan ibu dan ayah selain melakukan kerja rumah termasuk membasuh pakaian dan juga memasak.

"Walaupun ibu mampu untuk bergerak, namun mata kirinya langsung tidak boleh melihat, manakala mata sebelah kanan pula kabur.

"Hanya saya yang ada untuk melakukan semua ini, namun ia bukan satu bebanan," katanya.

Sementara itu, Rahayu berkata, dia dan suami bersyukur dikurniakan seorang anak yang sangat memahami dan baik.

Rahayu (kiri) dan suami menerima kunjungan dan sumbangan Yayasan Bank Rakyat yang diwakili oleh Syaiful Rizal.
Rahayu (kiri) dan suami menerima kunjungan dan sumbangan Yayasan Bank Rakyat yang diwakili oleh Syaiful Rizal.

Dia memberitahu, mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada ihsan saudara mara, jiran tetangga serta bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500.

Ujarnya, mereka juga mendapat perhatian daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

"Kami sekeluarga perlu berjimat cermat dan wang sedekah yang dihulurkan akan digunakan untuk membeli keperluan suami terutamanya susu yang berharga RM112 setin.

"Susu tersebut hanya mampu bertahan selama tiga hari sahaja dan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM1,500 setiap bulan untuk keperluan suami," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian di akaun Bank Islam 03072022201780 atas nama Rahayu Daud.

Dalam perkembangan lain, Syaiful Rizal memberitahu, YBR bersedia membiayai kos ulang kaji Muhammad Adam Aizad.

Menurut beliau, pembiayaan itu bagi memastikan pelajar tingkatan dua itu yang sebelum ini kerap kali tidak ke sekolah dapat mengulang kaji semula pelajaran dengan mendapat bimbingan penuh dari guru.

"Kita sedia menanggung kos itu sekiranya ada guru yang berminat untuk membantu. Pada masa sama kita akan berbincang dengan pihak sekolah berkait dengan perkara ini.

"Besar harapan kita supaya Muhammad Adam Aizad tidak lagi ketinggalan dalam pelajaran selepas ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!