'Banduan mengamuk, jerit panggil ibu, ayah'

Aksi Ahmad Yusof (tengah) ketika melakonkan watak sebagai banduan yang ditenangkan oleh anggota Unit Kawalan Pencegahan Jabatan Penjara Malaysia di Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Sabtu.
Aksi Ahmad Yusof (tengah) ketika melakonkan watak sebagai banduan yang ditenangkan oleh anggota Unit Kawalan Pencegahan Jabatan Penjara Malaysia di Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - "Berkali-kali dia memanggil ibu dan ayahnya sambil meronta-ronta meminta dilepaskan".

Demikian perkongsian anggota Unit Kawalan Pencegahan Jabatan Penjara Malaysia, Penjara Sungai Buloh ketika menceritakan pengalaman mengendalikan seorang banduan yang mengamuk sekitar tahun 2018.

Wadar Penjara Sungai Buloh, Ahmad Yusof Aiman berkata, ketika kejadian banduan terbabit baru sahaja beberapa bulan menjalani hukuman di penjara berkenaan.

"Ketika itu, secara tiba-tiba dia mengamuk dan meronta-ronta sambil menyebut sesuatu. Ketika itu saya dan beberapa anggota lain terus berusaha menenangkan dia.

"Banduan berkenaan turut tidak berhenti-henti memanggil ayah dan ibunya dan menyatakan menyesal melakukan jenayah mengakibatkan dirinya dipenjara," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Karnival Pendidikan Sinar Bestari di sini pada Sabtu.

Pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar bersama anggota Unit Kawalan Pencegahan Jabatan Penjara Malaysia di Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Sabtu.
Pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar bersama anggota Unit Kawalan Pencegahan Jabatan Penjara Malaysia di Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Sabtu.

Katanya, kejadian berkenaan antara memori yang tidak dapat dilupakannya dan dikongsikan kepada penonton menerusi persembahan Unit Kawalan Pencegahan di sini.

"Saya cuba menyelami perasaan dan situasi ketika kejadian dan berusaha sehabis mungkin membawa watak tersebut untuk dipersembahkan.

Artikel Berkaitan:

"Masa sama saya mahu pengunjung di karnival ini mendapat pengetahuan berkaitan tugas dan peranan anggota Unit Kawalan Pencegahan ketika mengendalikan situasi tegang melibatkan banduan," katanya.

Ahmad Yusof bersama tiga anggota Jabatan Penjara Malaysia melakukan persembahan situasi ketika mengendalikan banduan yang bertindak agresif ketika dalam tahanan.

Persembahan yang dilakukan itu memukau ratusan pengunjung malah ada yang turut menitiskan air mata ketika menyaksikannya.

Turut diselitkan juga watak sebagai banduan yang dibawakan Ahmad Yusof yang meluahkan kekesalan kerana melakukan kesalahan jenayah.

Mohamad Zulfahmi
Mohamad Zulfahmi

Sementara itu Pegawai Unit Latihan Penjara Sungai Buloh, Inspektor Penjara Mohamad Zulfahmi Zulkeple berkata, persembahan yang dipertontonkan kepada pengunjung ini merupakan antara langkah yang diambil Unit Kawalan Pencegahan Jabatan Penjara Malaysia ketika menghadapi situasi tegang melibatkan banduan.

"Beberapa teknik digunakan untuk menangani situasi kekecohan atau banduan yang bertindak agresif.

"Paling diutamakan adalah banduan yang terlibat akan segera ditenangkan dan dikawal sebelum tindakan selanjutnya diambil," katanya.

Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) yang masuk hari kedua hari ini lebih meriah dengan kehadiran pengunjung yang memanfaatkan cuti hujung minggu.

Bertemakan 'Memacu Pendidikan Generasi Digital', acara bermula jam 9 pagi hingga 7 malam itu menyaksikan sambutan luar biasa pada hari pertama semalam, dengan kehadiran rombongan dari sekolah-sekolah sekitar Lembah Klang termasuk dari luar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!