Calon PN harap peratusan keluar mengundi PRK Pulai cecah 80 peratus

Zulkifli mengiringi ibu mentuanya, Montiah selepas selesai mengundi di SJKC Tampoi, Johor Bahru pada Sabtu.
Zulkifli mengiringi ibu mentuanya, Montiah selepas selesai mengundi di SJKC Tampoi, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar mengingatkan pengundi supaya tidak turun mengundi pada saat akhir.

Beliau berkata, pengundi perlu keluar awal dan berharap peratusan mengundi pada PRK Parlimen Pulai mampu mencecah 80 peratus.

"Jumlah peratusan yang tinggi ini menjadi faktor kemenangan PN. Jika rendah daripada itu, saya tak rasa peluang untuk menang itu terjejas. Kita kena lihat pula berapa peratusan pengundi Melayu yang keluar.

"(Kemenangan) bergantung kepada peratusan pengundi, saya harap peratusan pengundi Melayu yang keluar mengundi adalah lebih tinggi.

"Trend pengundi Melayu ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini rendah, harap peratusan pada PRK ini berbeza," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Zulkifli mengiringi ibu mentuanya, Montiah Emam, 77, mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Tampoi, di sini pada Sabtu.

Justeru, beliau berkata, pengundi terutama orang Melayu seharusnya sedar undi mereka sangat bermakna dalam memilih wakil rakyat baharu di Parlimen Pulai.

Katanya, jentera dan penyokongnya menyediakan sekurang-kurangnya dua kenderaan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk mengambil dan menghantar pengundi ke pusat mengundi yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulai meluahkan rasa kecewa setelah proses tukar alamat yang dibuat sebelum PRU15 belum lagi diluluskan.

"Saya pengundi di Iskandar Puteri, saya sudah buat pertukaran tapi tak tukar lagi. Saya sudah 20 tahun duduk di Tampoi ini, saya fikir yang positif sahaja," katanya.

Walaupun begitu, Zulkifli memuji kecekapan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan proses pengundian PRK tersebut.

“Petugas SPR efisyen membantu pengundi sejak memasuki premis pusat pengundian sebelum proses undian dijalankan, saya rasa layanan cukup baik oleh SPR,” katanya.