PRK Pulai: Ahli UMNO perlu ketepikan rasa sangsi

Noor Azleen
Noor Azleen
A
A
A

JOHOR BAHRU - Akar UMNO perlu ketepikan sentimen atau perasaan sangsi untuk mengundi calon Pakatan Harapan (PH)- BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Sabtu ini.

Ketua, Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, bagi kedua-dua PRK tersebut mereka perlu melihat kepada kepentingan masa depan dengan gambaran lebih besar.

"Pemuda UMNO Johor mengakui dengan jujur dan insaf bahawa memang tidak mudah untuk akar umbi UMNO serta orang Melayu mengundi PH dalam PRK di Johor kali ini.

"Bagi akar umbi UMNO, selama puluhan tahun dan melalui pelbagai episod pilihan raya, mereka tidak pernah mengenal apatah lagi memangkah selain ‘logo dacing’ pada kertas undi.

"Bagi orang Melayu, kita mengerti betapa masih ada syak dan sangsi, terutamanya melihatkan personaliti tertentu dan pelbagai isu nasional kebelakangan ini.

"Namun, untuk PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, kita semua terpaksa melihat gambaran yang lebih besar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, dalam PRK kali ini yang turut akan menjadi taruhan adalah kestabilan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Noor Azleen mahu akar umbi UMNO dan orang Melayu mempertimbang segala usaha serta pencapaian Onn Hafiz selama dua tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Bantulah pemimpin negeri kita ini, yang menyimpan wawasan dan cita-cita besar untuk bangsanya.

"Impian untuk membina negeri dan bangsa kelas pertama, masyarakat yang makmur, bersatu-padu dan sejahtera," katanya.

Jika terlalu sukar bagi orang Melayu percaya dan mengundi calon PH katanya, setidak-tidaknya beri kepercayaan kepada Onn Hafiz.

"Kalau tidak sanggup sokong parti lain, setidak-tidaknya anggaplah ini sebagai cara untuk membantu Datuk Onn Hafiz sebagai pemimpin Johor.

"Jangan kerana nyamuk, kelambu di bakar. Jangan kerana sentimen dan pengaruh luar, kemakmuran negeri kita menjadi korban sekali gus tergadai," katanya.