Pemimpin UMNO zahir rasa syukur PH-BN menang PRK Pulai

Dari kiri; Asyraf Wajdi, Azalina dan Muhamad Akmal
Dari kiri; Asyraf Wajdi, Azalina dan Muhamad Akmal
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin UMNO menzahirkan rasa syukur di atas kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai yang diadakan pada Sabtu.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kejayaan yang diperoleh itu membuktikan bahawa rakyat Johor mempunyai jati diri yang tersendiri.

“Mereka (rakyat Johor) mempunyai cara dan keistimewaan tersendiri mempertahankan prinsip kesederhanaan, progresif serta inklusif berasaskan sifat keindukkan Islam dan Melayu dalam realiti kemajmukan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara tercinta ini.

“Selepas ini, kita harus buktikan bahawa Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri dengan kerjasama padu dan muafakat jitu seluruh jentera BN dan PH mampu memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Ahad.

Asyraf Wajdi berkata, kerjasama erat berkenaan akan membawa negara dan Johor ke arah kecemerlangan sehingga berupaya untuk mensejahterakan kehidupan rakyat berbilang agama dan kaum.

Sebelum ini media melaporkan, PH berjaya mengekalkan penguasaan di Parlimen Pulai dengan meraih majoriti besar sebanyak 18,641 undi.

Pada sama sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Pulai baharu Suhaizan Kayat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman kerana memenangi PRK pada kali ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kemenangan itu membawa erti bahawa BN Johor telah berjaya menterjemahkan aspirasi perpaduan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani.

Artikel Berkaitan:

“PH-BN Johor telah berjaya lalui ujian ketiga ini atas landasan perpaduan kerana perkara yang dicanangkan dan dilaksanakan di peringkat pusat bukan sekadar retorik tetapi kesungguhan untuk mengenepikan perbezaan politik demi sebuah kerajaan stabil untuk membawa kemakmuran.

“Keyakinan pengundi terhadap dua wakil rakyat ini perlu diterjemahkan oleh kerajaan dengan melipat gandakan segala usaha untuk menangani apa jua isu komuniti, ekonomi dan kehidupan yang dihadapi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kemenangan PRK Pulai itu adalah petanda bahawa gelombang PH-BN kini sudah bermula.

“Alhamdulillah, kita mulakan gelombang merah biru di bumi Johor. Teruskan bekerja untuk rakyat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Nazri menang di DUN Simpang Jeram

PRK: Suhaizan pertahan kemenangan PH di Parlimen Pulai

Kemenangan bukti kerjasama BN-PH diterima pengundi - Nazri

PRK: Kemenangan PH bukan undi simpati - Suhaizan

Kemenangan PH-BN pengiktirafan kepada Kerajaan Perpaduan

Tidak mungkin saya menang tanpa kerjasama PH-BN - Nazri

Anwar ucap tahniah kepada Suhaizan, Nazri

PRK: Pimpinan Kerajaan Perpaduan ucap tahniah atas kejayaan PH