Kaji semula kadar tambang feri, pengguna dakwa terlalu tinggi

Feri baharu yang baru beroperasi Ogos lalu di Pulau Pinang. Gambar kecil: Syazwi, Lee Teik Keat, Jeffrey Chun
Feri baharu yang baru beroperasi Ogos lalu di Pulau Pinang. Gambar kecil: Syazwi, Lee Teik Keat, Jeffrey Chun
A
A
A

GEORGETOWN - Syarikat pengendali feri baharu, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) diminta agar mengkaji semula kadar tambang bagi perkhidmatan itu berikutan ia dilihat terlalu tinggi.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kebanyakan penumpang menyifatkan tambang yang dikenakan bagi kedua-dua pangkalan terlalu mahal terutamanya bagi mereka yang berulang alik menggunakan perkhidmatan itu setiap hari.

Selain itu, mereka turut mendakwa tidak mendapat maklumat lengkap dan penerangan yang jelas mengenai kadar baharu yang dikenakan itu.

Pekerja kontrak, Lee Teik Keat, 75, berkata, dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan, tambang RM5 bagi motosikal sehari agak membebankan baginya.

"Saya tinggal di sebelah seberang, setiap hari tunggang motosikal berulang alik ke pulau kerana saya bekerja di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam di sini (pulau).

"Untuk masuk ke pulau, kena bayar RM2.50 dan pulang pun kena RM2.50, bagi saya itu sangat tinggi. Gaji pun tak tinggi, tambang ini agak mahal lah. Jika dulu, hanya dari seberang sahaja kena bayar tambang, sekarang pergi balik pun kena," katanya ketika ditemui di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) pada Jumaat.

Guru agama, Syazwi Iqbar, 22, pula berkata, walaupun bukan berulang alik menggunakan feri setiap hari, dia turut meminta PPSB agar mengkaji semula kadar yang baharu bagi semua kategori penumpang.

"Bagi satu perjalanan pergi dan balik, RM5 bagi motosikal, saya rasa memang tinggi. Saya faham feri yang beroperasi sekarang ini, baru dan selesa tetapi dengan keadaan ekonomi ketika ini, saya berpendapat kadar tambang itu perlu dikurangkan lagi.

Artikel Berkaitan:

Penunggang motosikal dikenakan tambang RM5 untuk dua hala.
Penunggang motosikal dikenakan tambang RM5 untuk dua hala.

"Jika tidak diturunkan pun, mungkin boleh dilaksanakan seperti feri ikonik sebelum ini iaitu hanya dikenakan bayaran tambang di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth sahaja," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penunggang motosikal, Jeffrey Chun, 28, berkata, kadar tambang untuk feri baharu itu agak tinggi, namun dia tiada pilihan lain untuk berulang alik dari seberang ke pulau.

"Memang mahal sebab kena bayar dua kali tetapi saya tiada pilihan lain. Mahu guna jambatan, perjalanan akan jadi lebih jauh dan perlu menggunakan tenaga yang banyak.

"Nak tak nak saya kena guna juga feri dan perlu bayar RM5 sehari untuk pergi dan balik kerja," tambahnya.

Sebelum ini, PPSB dalam kenyataan memaklumkan kadar tambang untuk perkhidmatan feri baharu di Pulau Pinang yang dikenakan kepada penumpang berkuat kuasa Khamis bermula pada harga serendah RM1 hingga RM2.50 sehala.

Tambang RM1 akan dikenakan kepada pejalan kaki yang berusia 12 tahun ke bawah manakala penumpang dewasa atau individu berusia 12 tahun ke atas dikenakan RM2 bagi sehala.

Selain itu, penunggang basikal yang menaiki feri juga akan dikenakan caj sebanyak RM2 manakala penunggang motosikal adalah sebanyak RM2.50.

Bagaimanapun, PPSB menawarkan pas bulanan yang menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus kepada pengguna setia feri iaitu pejalan kaki yang juga pemegang MyKad.

Diskaun tersebut ditawarkan sehingga 31 Disember ini yang mana, bermula 1 Januari 2024, diskaun 30 peratus akan diberikan kepada pemegang pas bulanan.

Inisiatif ini bertujuan untuk memberi lebih nilai tambah dan kemudahan kepada penumpang setia perkhidmatan itu.

Empat buah feri baharu Pulau Pinang yang dinamakan Teluk Kumbar, Teluk Bahang, Teluk Duyung dan Teluk Kampi yang setiap satunya bernilai RM18 juta mula beroperasi sejak 7 Ogos lalu.

Feri baru itu dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang penuh antaranya kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh dipantau oleh jurumudi serta di terminal.

Selain itu, ia juga mempunyai dua enjin di bahagian belakang dan hadapan yang membolehkan ia terus beroperasi sebaik sahaja menurunkan dan mengambil penumpang selain boleh membuat pusingan sehingga 360 darjah.

Sebelum tibanya feri baru ini, PPSB telah menyediakan perkhidmatan katamaran untuk penumpang, motosikal dan basikal bagi menggantikan feri ikonik sebelum ini.

Bagi perkhidmatan katamaran, PPSB mengenakan kadar tambang RM1.20 untuk pejalan kaki dewasa serta 60 sen bagi kanak-kanak dan orang kurang upaya untuk sehala manakala tiada perkhidmatan bagi penunggang motosikal.