'Cucur sekupang' ubah kehidupan suami isteri

Mohd Hasmi Idris, 39, sedang melayan pelanggan yang membeli cucur 'sekupang' dijualnya sebaik membuka gerai di Jalan Keranji di sini. - FOTO BERNAMA
A
A

KULIM - Sepasang suami isteri tidak menyangka keputusan yang diambil untuk menjual cucur dan kuih-muih pada harga 10 sen (sekupang) sebiji mampu merubah kehidupan mereka yang sebelum ini sering berdepan dengan kesempitan kewangan.

Nurul Syafini Abd Manap, 35, bersama suaminya, Mohd Hasmi Idris, 39, mula menjual pelbagai jenis cucur dan kuih muih bersaiz mini di gerai mereka di Jalan Keranji, di sini sejak dua bulan lalu.

“Sebelum ini saya dan suami asyik tak cukup wang, nak bayar sewa rumah, perbelanjaan anak ke sekolah pun tak cukup ketika suami kerja makan gaji sebagai pembantu kedai yang diberi upah antara RM30 hingga RM40 sehari.

“Tapi sejak saya dan suami ambil keputusan berniaga cucur sekupang (10 sen), Alhamdulillah rezeki kami tidak putus, sentiasa ada duit, mungkin kerana niat bersedekah kepada pelanggan, walaupun untung kami tidak banyak,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Lebih 10 jenis kuih bersaiz mini seperti onde-onde, karipap, kuih kacang, sosej gulung, donat, cekodok pisang dan jemput-jemput laris dijual setiap hari dan akan habis dalam tempoh tidak lebih dua jam sahaja. - FOTO BERNAMA
Lebih 10 jenis kuih bersaiz mini seperti onde-onde, karipap, kuih kacang, sosej gulung, donat, cekodok pisang dan jemput-jemput laris dijual setiap hari dan akan habis dalam tempoh tidak lebih dua jam sahaja. - FOTO BERNAMA

Katanya, cucur atau kuih muih bersaiz mini yang dijual mendapat sambutan menggalakkan dan kebiasaannya akan habis terjual dalam tempoh dua jam sahaja.

“Setiap hari saya dan suami akan buka gerai pada jam 4 petang dan kira-kira jam 6 petang, semua cucur yang saya jual seperti karipap, donat, onde-onde, kuih kacang, cucur badak, sosej gulung, popiah goreng, cekodok pisang, dan jemput-jemput jagung akan habis terjual,” kata ibu kepada enam orang anak itu.

Sementara itu, Mohd Hasmi berkata sebelum ini beliau pernah membantah cadangan isterinya untuk menjual kuih dan cucur pada harga 10 sen kerana bimbang tidak akan memperoleh keuntungan.

“Saya kasihankan isteri saya kerana terpaksa bangun awal untuk buat persiapan dan sebelah malam baru boleh berehat seperti tidak berbaloi menjual pada harga itu,” katanya.

Namun, Mohd Hasmi bersyukur kerana pengorbanannya dan isteri berbaloi apabila kuih dan cucur yang dihasilkan mendapat permintaan tinggi dan perlu menyediakan antara 2,000 hingga 2,500 biji setiap hari untuk jualan dan tempahan pelanggan. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia