Lot lidi: Kedah perkasa penguatkuasaan, kesan dalang terlibat promosi
ALOR SETAR - Kedah akan memperkasakan penguatkuasaan terhadap kegiatan penjualan tanah lot lidi termasuk mengesan dalang yang terlibat dalam mempromosikannya.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan itu bagi menjaga kepentingan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan golongan terbabit yang mengejar keuntungan semata-mata.
Menurutnya, lot lidi merupakan isu yang tidak pernah selesai sejak sekian lama di mana pembeliannya tidak dijamin urusan pindah milik mahupun pendaftaran tanah.
"Saya sedih kalau ada dalam kalangan orang pejabat tanah sendiri yang menjadi dalang dan pemudah cara atau bahasa kasarnya ‘barua’ kartel dalam mempromosikan lot lidi.
"Depa lukis pelan, depa buat iklan dan depa juga yang jual ambil untung atas angin, alasannya, 'tanah kerajaan makin berkurang, kononnya ini sajalah cara untuk bantu orang memiliki tanah sendiri'," katanya.
Beliau berkata demikian sempena Program Amanat Tahun Baru Pentabiran Tanah Negeri Kedah 2026 di Dewan Seri Mentaloon di sini pada Isnin.
Menurut Muhammad Sanusi, perbuatan itu adalah satu kesalahan yang jauh menyimpang dari segi moral dan juga undang-undang.
"Tak kena kat kita takpa, tapi beringatlah kita ada anak cucu yang akan ditinggalkan, mungkin mereka akan jadi mangsa seterusnya dan terima akibat asbab tangan-tangan jahat kita dahulu.
"Lot lidi ini bukan sekadar isu teknikal, ia isu keadilan. Tatkala pembeli jadi mangsa, pejabat tanah pula menjadi sasaran. Tahun 2026, saya nak kita lebih berani kata 'tidak boleh' daripada kita sibuk baiki masalah yang sepatutnya tak berlaku pun," katanya.
Beliau dalam masa sama, berharap agar kesemua kakitangan mampu mencapai iltizam tahun baharu dalam menoktahkan isu lot lidi.
"Saya harapkan tidak ada lagi skim lot lidi baharu. Perkemaskanlah penguatkuasaan di daerah dan seluruh negeri. PTD atau PBT perlu buat rondaan dan buang iklan-iklan jualan tanah lot yang dipecah secara tidak sah.
"Kita juga harus akur bahawa modus operandi kartel atau sindiket lot lidi ini bergerak secara berkumpulan dalam satu 'circle' yang mempunyai matlamat sama iaitu keuntungan wang ringgit," katanya.
Beliau turut meminta rakyat negeri Kedah yang kurang jelas akan sesuatu tranksaksi pembelian merujuk kepada pejabat tanah berdekatan supaya urusan tersebut jelas tanpa sebarang syubhah.
Dari sudut perundangan beliau berkata, lot lidi melanggar tiga undang-undang yang berkuatkuasa iaitu Kanun Tanah Negara, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Ringkasan AI
- Kedah akan memperkasakan penguatkuasaan terhadap kegiatan penjualan tanah lot lidi
- Menteri Besar Kedah menyatakan langkah ini untuk melindungi rakyat daripada terpedaya
- Lot lidi dianggap isu yang belum selesai dengan pembeliannya tidak dijamin secara sah
- Terdapat individu dalam pejabat tanah yang mempromosikan penjualan lot lidi demi keuntungan
- Langkah-langkah undang-undang termasuk membuang iklan jualan tanah lot yang tidak sah akan diperketatkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

