Yakin penuhi aspirasi rakyat Pulai

Suhaizan miliki rancangan sendiri

A
A
A

Suhaizan beramah mesra dengan seorang kanak-kanak ketika mengadakan walkabout menemui para pengundi di kawasan Parlimen Pulai pada Rabu. FOTO: BERNAMA
Suhaizan beramah mesra dengan seorang kanak-kanak ketika mengadakan walkabout menemui para pengundi di kawasan Parlimen Pulai pada Rabu. FOTO: BERNAMA



KERAJAAN Perpaduan hasil gabungan dua parti politik terbesar negara, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), telah banyak merencana dan menyelesaikan beberapa permasalahan rakyat dan negara meliputi penubuhan kerajaan sehinggalah kepada kestabilan ekonomi.

Justeru, calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai (P.161), Suhaizan Kayat bertekad untuk meneruskan kesinambungan tersebut khususnya perkhidmatan terbaik sebagaimana yang telah dilakukan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahudin Ayub selaku Ahli Parlimen di kawasan berkenaan sebelum ini.

Mengupas lanjut mengenai aspirasi calon PH ini, ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, SHAHRIZAL AHMAD ZAINI bersama calon Kerajaan Perpaduan tersebut.

SINAR HARIAN: Boleh terangkan mengenai Kerajaan Perpaduan kerana masih ada rakyat yang keliru.

SUHAIZAN: Kerajaan Perpaduan ini adalah kerajaan yang baru dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 ketika tak ada satu parti pun yang boleh bentuk kerajaan. Akhirnya, Tuanku (Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) menitahkan saranan perlu wujudkan sebuah Kerajaan Perpaduan yang di dalamnya terdapat pelbagai parti yang selama ini bertentangan antara satu sama lain. Oleh itu, PH dan BN telah terima saranan itu, sebaliknya pihak PN tidak menerima. Akhirnya, Kerajaan Perpaduan itu hanya melibatkan parti besar iaitu PH dan BN. Kedua-dua parti ini yang bertembung antara satu sama lain telah digabungkan dalam Kerajaan Perpaduan ini adalah satu gabungan yang besar dan banyak telah menyelesaikan masalah besar ketika itu. Jika kerajaan ini (Kerajaan Perpaduan) tidak dibentuk, mungkin pelantikan Perdana Menteri akan jadi lewat dan Kerajaan Perpaduan tidak akan wujud dan seterusnya jejaskan ekonomi termasuk keyakinan pihak pelabur terhadap negara. Jadi maknanya kewujudan Kerajaan Perpaduan ini telah menyelamatkan keadaan, telah menyelamatkan negara kita daripada masalah-masalah-masalah berkaitan dengan pembentukan kerajaan. Sehingga sekarang dah lebih lapan bulan, segala usaha telah diusahakan oleh kerajaan ini tanpa masalah, berjaya selesaikan masalah berbangkit dan akan terus bergerak ke hadapan bagi memenuhi keperluan rakyat dan mendapatkan sebuah negara yang aman, damai dan sejahtera.

Suhaizan bersalaman bersama para pengundi dari kaum Tionghua ketika menghadiri program ceramah di Taman Anggerik dalam kawasan Parlimen Pulai. FOTO: BERNAMA
Suhaizan bersalaman bersama para pengundi dari kaum Tionghua ketika menghadiri program ceramah di Taman Anggerik dalam kawasan Parlimen Pulai. FOTO: BERNAMA

Boleh jelaskan mengenai visi dan misi sekiranya dilantik sebagai Ahli Parlimen Pulai, kelak?

Artikel Berkaitan:

Sebagai Ahli Parlimen, fungsi sebenar ialah menjayakan usaha-usaha di peringkat Parlimen merangka polisi-polisi yang baik untuk negara dengan mengambil kira kekuatan dan kelemahan yang ada. Saya merasa tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen yang dilantik untuk memberikan pandangan-pandangan yang bernas kepada sebuah negara yang kita sayangi, Malaysia, Insyaa-ALLAH. Hal-hal berkaitan rakyat di Parlimen Pulai ini pusat khidmat kita (jika dilantik sebagai ahli parlimen), akan melaksanakan usaha untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sering dibangkitkan oleh rakyat. Kita telah pun menjayakan usaha ini sejak 2018 lagi, di mana pusat khidmat kita telah berfungsi melaksanakan tugas kepada semua rakyat di Parlimen Pulai ini.

Apakah perancangan yang telah disusun untuk Parlimen Pulai termasuk permasalahan-permasalahan yang akan dibantu?

Jika terpilih menjadi Ahli Parlimen di Pulai ini, masalah-masalah rakyat yang sering dibangkitkan akan diberikan keutamaan; seperti isu perumahan. Biasanya, pengundi-pengundi atau masyarakat di sini sering membangkitkan mengenai masalah infrastruktur, parkir, masalah kerosakan, peralatan, tangki rosak, masalah jalan dan segalanya yang berkaitan dalam isu perumahan ini. Selain itu, ada enam tempat di parlimen ini yang sering dilanda masalah banjir kilat seperti Kampung Pasir, Skudai Kiri, Permatang, Tampoi Indah, Ayer Molek dan persekitaran Wisma Persekutuan. Inilah kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir kilat. Telah ada satu cadangan daripada pihak JPS (Jabatan Pengairan Saliran), memohon satu peruntukan berjumlah RM26 juta bagi membantu mengurangkan masalah banjir di kawasan-kawasan ini. Saya akan usahakan bersungguh-sungguh, agar rakyat di kawasan-kawasan ini akan mendapat manfaatnya.

Agenda untuk membangunkan kawasan dan memelihara kesejahteraan hidup rakyat antara fokus utama Suhaizan. FOTO: BERNAMA
Agenda untuk membangunkan kawasan dan memelihara kesejahteraan hidup rakyat antara fokus utama Suhaizan. FOTO: BERNAMA

Hampir dua minggu berkempen dan tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk hari mengundi. Bagaimana perjalanan kempen di Parlimen Pulai, berjalan lancar atau ada gangguan?

Kempen setakat ini berjalan lancar tanpa ada gangguan, kami dapat laksanakan 150 aktiviti di Pulai dalam tempoh berkempen setakat ini. Kami dapat jejaki beberapa segmen penduduk termasuk kawasan Banjaran, Permatang, Kempas sehingga Nusa Bestari dan Nong Chik di sebelah selatan. Ini kawasan-kawasan yang mana pengundi kita berada, kita ada 165,000 lebih pengundi di bahagian Pulai ini. Alhamdulillah, dapat jumpa mereka dan mereka juga berikan maklum balas yang baik kepada kita.

Boleh terangkan mengenai reaksi positif yang diterima daripada rakyat sepanjang tempoh berkempen?

Saya sebenarnya rasa bertuah kerana di Parlimen Pulai ini pernah berada di bawah kepimpinan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang telah memberikan perkhidmatan yang baik di kawasan ini. Bila saya bertemu penduduk, rata-ratanya memuji usaha yang telah dilaksanakan. Setakat ini, saya masih belum berjumpa dengan pihak yang kata ada masalah dengan Allahyarham. Ini satu pencapaian yang baik. Alhamdulillah, saya mendapat limpahan itu dan dengan itu segala kempen-kempen yang dilaksanakan di kawasan ini menjadi mudah. Mereka memang menerima selaku pengganti kepada Allahyarham, terima kasih dan Insyaa-ALLAH, kita sama-sama mendapat kebaikan pada masa akan datang.

Apakah nasihat kepada pengundi di Parlimen Pulai agar keluar mengundi beramai-ramai pada hari mengundi nanti?

Kepada semua pengundi di Parlimen Pulai ini, pastikan anda dapat semua turun mengundi pada 9 September 2023 pada awal pagi supaya dapat mengelakkan kesesakan. Undilah calon Pakatan Harapan daripada Kerajaan Perpaduan nombor tiga, Suhaizan Kayat.

Reaksi rakyat:

SABARIYAH
SABARIYAH



“Saya harap kawasan (Parlimen) ini terus berada (dipimpin) di bawah PH kerana banyak membantu penduduk di sini.”- Peniaga, Sabariyah Maming, 34.

LOOI POH CHAI
LOOI POH CHAI



“Saya akan sokong PH sebab dulu Datuk Salahuddin (Allahyarham) baik, banyak tolong kita. Saya tak mahu orang lain jaga Pulai.”- Usahawan, Looi Poh Chai, 48.

S. PRAKASH
S. PRAKASH



“Saya harap pengundi berikan undi kepada PH sebab sebelum ini pun wakil rakyat di sini seorang yang baik, selalu turun padang jumpa rakyat.”- Pekerja Swasta, S Prakash, 50.

Biodata calon PH P.161 Parlimen Pulai

Nama: Suhaizan Kaiat

Umur: 50 tahun

Kelahiran: Kampung Sungai Sudah, Muar Johor

Pendidikan: Sarjana Sains Komputer Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor

Pengalaman: Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (Januari 2023 - Jun 2018), Yang di-Pertua Dewan Negeri Johor Ke-14 (Jun 2018-Januari 2022

Politik: Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Setiausaha Organisasi Kebangsaan Parti Amanah Negara (Amanah) Pusat (2015 - 2019)