Pengundi Pulai perlu istiqamah pilih calon Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (empat dari kanan) pada program Madani Siaga di PPR Melana pada Jumaat.
Ahmad Zahid (empat dari kanan) pada program Madani Siaga di PPR Melana pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai perlu istiqamah dengan tidak mendengar pelbagai tohmahan dan fitnah propaganda yang meracuni mereka daripada menjalankan tanggungjawab mengundi pada Sabtu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat Johor merupakan pengundi matang yang tahu untuk meletakkan calon daripada Kerajaan Perpaduan untuk mewakili mereka.

"Esok hari penting. Besok jangan lupa hadir menyokong calon Suhaizan Kayat sebagai wakil kita untuk Parlimen Pulai.

"Rakyat di Pulai jangan dengar tohmah dengan fitnah propaganda pelbagai racun. Istiqamah, rakyat Johor orang yang matang, pengundi matang," katanya ketika berucap merasmikan Madani Siaga di Dewan PPR Melana Indah 2, Perling di sini pada Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya pengundi silap memilih, ia akan menyukarkan pembangunan yang telah dirancang Kerajaan Perpaduan.

"Ya, mereka datang dan pergi, saya juga datang dan pergi, yang akan atasi masalah Nur Jazlan (Ketua UMNO Bahagian Pulai). Calon yang dikehendaki adalah calon yang akan membantu kita di Parlimen Pulai.

"Tetapi kalau pilih orang lain yang mewakili tuan puan, dia peduli apa. Dia wakil parti lain, dia peduli apa akhirnya tuan puan jadi mangsa. Jangan tawarkan diri jadi mangsa. Pilihlah calon tepat boleh membantu," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan perlu ada kerjasama yang baik antara semua pihak agar usaha lebih baik dapat dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Ada kerajaan negeri tidak sama dengan Putrajaya, kerajaan bantu, kami buta warna tak kira parti apa pun, kerajaan mana pun atas nama apa pun kerana tanggungjawab dan kemanusiaan kami turun," jelasnya.