Bazar Ramadan mesti sediakan ruang solat

Tosrin menunjukkan surat arahan yang telah dikeluarkan kepada PBT di negeri ini.
Tosrin menunjukkan surat arahan yang telah dikeluarkan kepada PBT di negeri ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Setiap bazar Ramadan utama di negeri ini mesti menyediakan ruangan solat untuk lelaki dan wanita secepat mungkin.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Tosrin Jarvanthi berkata, surat arahan telah pun dikeluarkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum Ramadan lalu.

"Atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah pun diarahkan kepada semua pihak berkuasa tempatan agar mana-mana bazar utama Ramadan supaya mendirikan ruang solat untuk lelaki dan wanita.

"Arahan telah dikeluarkan kepada PBT dan perlu disediakan secepat mungkin. Melainkan jika bazar Ramadan itu diberi hak kepada NGO untuk menguruskannya maka NGO itu mesti menyediakan ruang solat," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian dan penyerahan Bangunan Darul Furqan di sini, hari ini.

Menurutnya, rata-rata peniaga akan mula membuka gerai seawal jam 3 petang sehingga waktu Maghrib.

"Peniaga mula menjual makanan sekitar jam 3 petang jadi waktu solat Asar dan Maghrib di bazar.

"Sebab itu ruangan solat ini perlu disediakan untuk peniaga dan pengunjung," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas soal operasi sempena bulan Ramadan, beliau berkata setakat ini tiada tangkapan terhadap umat Islam atau peniaga yang berurusniaga secara terbuka.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah setakat ini belum ada tangkapan lagi umat Islam makan di kedai secara terbuka atau peniaga menjual makanan secara terbuka kepada umat Islam.

"Kemudian operasi membanteras penglibatan umat Islam dalam pembelian nombor ekor di Johor Bahru dan Kulai telah dijalankan senyap-senyap.

"Bagi jumlah tangkapan gagal puasa masih belum terima data lagi tapi setakat ini kadi daerah telah menggerakkan operasi di kawasan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jawatankuasa surau dan masjid di negeri ini yang tidak mendaftar penceramah jemputan terlebih dahulu.

"Memang bukan baharu (garis panduan) tapi nampaknya kurang dipraktis. Kali ini kami serius terhadap perkara ini. Saya sendiri akan turun padang bagi memastikan perkara ini dipatuhi jawatankuasa masjid dan surau.

"Mana-mana masjid atau surau yang tidak memenuhi ketetapan ini perlu memberi surat tunjuk sebab kepada Majlis Agama Islam Johor.

"Tujuannya supaya tidak ada penceramah yang tidak bertauliah memberi ceramah," katanya.

Katanya, pihak surau dan masjid boleh merujuk senarai nama penceramah yang disenaraihitamkan pada kadi daerah masing-masing.