38 lokasi Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara

Fuziah menunjukkan menu RM5 ketika melakukan sesi walkabout pada Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah di Bazar Ramadan Lorong Tengku Abdul Rahman di ibu negara di sini, pada Selasa.
Fuziah menunjukkan menu RM5 ketika melakukan sesi walkabout pada Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah di Bazar Ramadan Lorong Tengku Abdul Rahman di ibu negara di sini, pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bazar Ramadan Rahmah (BRR) dilaksanakan di 38 lokasi seluruh negara termasuk tiga BBR beroperasi di ibu negara dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang Ramadan tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, BRR adalah inisiatif terbaru kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan hidangan berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan.

Jelasnya, ini termasuk dengan menggalakkan peniaga menyediakan kepelbagaian konsep penyediaan makanan atau produk seimbang berteraskan Menu Rahmah kepada pengunjung yang datang ke bazar Ramadan.

"Antara kriteria BRR adalah sebahagian peniaga menawarkan menu Rahmah di lokasi menjadi tempat tumpuan rakyat dan menggalakkan kadar sewa Rahmah serta berpatutan kepada peniaga berdasarkan lokaliti.

"Inisiatif BRR ini dilaksanakan secara kerjasama strategik di antara kementerian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tanpa melibatkan sebarang implikasi kos kepada kerajaan," katanya.

Beliau ditemui ditemui pemberita selepas melakukan sesi walkabout pada Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah di Bazar Ramadan Lorong Tengku Abdul Rahman di ibu negara di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat tiga lokasi BRR di sekitar Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur ialah di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Tempat Letak Kereta Lorong TAR Lot 4, dan di Jalan Raja berhadapan gereja.

"Jumlah keseluruhan peniaga yang beroperasi bagi tiga lokasi BRR di ibu kota ialah seramai 41 peniaga dan kesemuanya menawarkan menu Rahmah," tambahnya.

Pada masa sama, KPDN juga meneruskan perluasan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Inisiative ReDI) dengan pemberian Insentif e-tunai kepada pengguna, peniaga dalam bentuk e-wallet dengan kerjasama penyedia e-wallet di BRR tersebut tertakluk kepada 500 pengguna terawal.