JKNP keluar 34 notis terhadap peniaga bazar Ramadan

Nor Azimi (kanan) mengadakan walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Negeri Pahang di tapak Bazar Ramadan Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Kuantan pada Rabu.
Nor Azimi (kanan) mengadakan walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Negeri Pahang di tapak Bazar Ramadan Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Kuantan pada Rabu.
A
A
A

PEKAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah mengeluarkan 34 notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kepada pengendali makanan di bazar Ramadan di negeri ini.

Notis kompaun dengan nilai keseluruhan RM3,500 itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 892 gerai dan 1,784 pengendali makanan di 75 bazar Ramadan seluruh negeri dalam tempoh minggu pertama Ramadan.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, antara kesalahan yang dikesan melibatkan 24 kes di bawah Peraturan 32 Akta Makanan 1983 iaitu pengendali makanan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan.

Menurutnya, turut dikesan lima kesalahan di bawah Peraturan 33 akta sama iaitu pengendali makanan gagal memastikan kuku sentiasa pendek dan memakai perhiasan diri ketika mengendalikan makanan.

"Sebanyak 30 sampel makanan sedia dimakan telah diambil pada minggu pertama Ramadan untuk dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang bagi analisis mikrobiologi.

"Setakat ini, keputusan bagi 30 sampel tersebut belum diterima," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Negeri Pahang di tapak Bazar Ramadan Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini pada Rabu.

Nor Azimi berkata, pensampelan dan pemeriksaan premis makanan di bazar Ramadan akan diteruskan pada minggu-minggu berikutnya, namun tiada sasaran jumlah sampel ditetapkan setakat ini.

"Sampel makanan akan diambil sekiranya mendapati makanan dijual peniaga berisiko atau disyaki tercemar.

"Bagaimanapun, belum ada aduan berhubung kes keracunan makanan dari bazar Ramadan diterima setakat ini," jelasnya.

Sementara itu katanya, penggunaan kod QR Aduan Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan juga diperluaskan di seluruh lokaliti bazar Ramadan di negeri ini.

"Kod QR itu dilaksanakan bagi memudahkan orang awam menyalurkan sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar-bazar Ramadan di negeri ini.

"Setakat ini JKNP belum menerima sebarang aduan berkaitan melalui kemudahan disediakan itu," jelasnya.

Tambah beliau, menyedari permintaan ais yang tinggi sepanjang Ramadan, JKNP turut melakukan pemeriksaan ke atas 17 kilang ais di negeri ini dan 13 notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan dengan nilai keseluruhan RM8,650.

"Antara kesalahan dikesan pemilik gagal mengadakan dan menyediakan Program Jaminan Keselamatan Makanan dan tidak mengadakan sistem kebolehkesanan makanan selain pengendali tidak mengenakan apron semasa mengendalikan ais," katanya.

Nor Azimi (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan hadiah gerai terbaik mengikut kategori sempena Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Negeri Pahang di tapak Bazar Ramadan Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Kuantan pada Rabu.
Nor Azimi (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan hadiah gerai terbaik mengikut kategori sempena Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Negeri Pahang di tapak Bazar Ramadan Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Kuantan pada Rabu.

Beliau berkata, bagi memastikan peniaga peka terhadap isu berkaitan keselamatan makanan, taklimat keselamatan makanan telah diadakan di setiap daerah melibatkan semua peniaga sebelum bazar Ramadan mula beroperasi.

"Sepanjang tempoh operasi Ramadan dijalankan sebanyak 1,500 pendidikan kesihatan telah diberikan kepada 2,005 pengendali makanan.

"Antara pendidikan kesihatan yang dilaksanakan termasuk edaran risalah bagi memastikan semua pengendali mematuhi aspek-aspek keselamatan dan kebersihan makanan," ujarnya.

Nor Azimi berkata, gerai bazar Ramadan yang didapati menjual makanan tercemar, tidak bersih dan gagal mematuhi peraturan ditetapkan boleh diarahkan tutup.

"Selain bazar Ramadan, pemeriksaan turut dilakukan ke atas premis makanan lain termasuk gerai penjaja di tepi jalan," katanya.