Anak syarikat tak bawa keuntungan akan dihentikan operasi - KM Melaka

Ab Rauf - Foto Bernama
Ab Rauf - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Anak syarikat kerajaan negeri yang tidak memberi keuntungan dan berdaya maju akan dihentikan operasinya bagi mengelak terus menanggung beban atau implikasi kewangan pada masa hadapan, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, sehubungan itu penilaian secara holistik daripada aspek potensi dan kemajuan kesemua 67 anak syarikat berkenaan sedang dilakukan dan penutupan operasi akan dilakukan sekiranya dilihat tidak mampu berdiri sendiri dan tiada pelan perniagaan yang mampan.

Beliau berkata, antara perkara yang dinilai adalah kemampuan syarikat berkenaan untuk membayar gaji pekerja dan menjalankan perniagaan mereka, tanpa bergantung kepada suntikan modal daripada kerajaan negeri.

"Kita telah mengenal pasti anak syarikat yang tidak berdaya maju ini dan akan memberi ruang kepada mereka untuk membentangkan pelan perniagaan mereka.

"Kita terikat dengan enakmen yang ada, jadi kita tidak boleh untuk terus mempertahankan anak syarikat yang rugi dan kita juga tidak mempunyai pilihan selain untuk menutup operasi mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemantapan Prestasi Kewangan dan Tadbir Urus Pengurusan Tertinggi Agensi dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri di sini pada Khamis.

Pada bengkel berkenaan beliau meluangkan lebih satu jam berdialog bersama ketua atau wakil anak syarikat kerajaan negeri selain mendengar pembentangan prestasi, hala tuju dan tadbir urus syarikat terlibat.

Ab Rauf berkata, pekerja anak syarikat yang ditutup akan dipindahkan kepada anak syarikat lain yang lebih berdaya saing dan mampu menjana pendapatan serta keuntungan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menggesa semua anak syarikat di negeri itu merebut peluang pelaburan yang dibawa masuk kerajaan negeri menerusi pelbagai sektor sekali gus membaiki prestasi pendapatan mereka.

"Menerusi dasar pelaburan yang kita gariskan sebelum ini, banyak pelaburan dijangka akan masuk ke Melaka pada masa hadapan dan ini merupakan ruang serta peluang terbaik untuk anak syarikat berkenaan untuk membantu membangunkan negeri ini," katanya. - Bernama