KKM sasar nisbah 1 penderma organ kepada 1 juta populasi

Zaliha (dua dari kanan) melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2023 di Auditorium IKN, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Zaliha (dua dari kanan) melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2023 di Auditorium IKN, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan nisbah 1 penderma organ kepada 1 juta populasi dapat dicapai dalam masa terdekat.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, nisbah sekarang adalah pada kadar 0.7.

"Jika semakin ramai menderma dan melakukan ikrar pendermaan organ, sasaran ini dapat dicapai dalam masa terdekat," kata beliau menerusi sidang media selepas merasmikan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan di Institut Kanser Negara (IKN) di sini pada Khamis.

Menurutnya, jurang antara bilangan penerima dan penderma selepas kematian (kadaverik) masih ketara meskipun lebih 45 tahun perkhidmatan transplan dimulakan di negara.

"Seramai 10,747 pesakit berada di dalam senarai menunggu organ baharu penderma berbanding 845 orang penderma kadaverik," ujar Dr Zaliha.

Beliau berkata, sejak tahun 1997, terdapat seramai 370,130 pengikrar derma organ di mana 22,268 pengikrar didaftarkan bagi tahun 2023.

"Statistik semasa jumlah penderma organ kadaverik tahun ini sehingga 31 Julai lalu adalah seramai 46 orang," katanya.

Ujar Dr Zaliha, jumlah tersebut melebihi bilangan tahun lalu iaitu 44 orang.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, Malaysia masih lagi berada dalam kedudukan 10 terendah pendermaan organ.

Sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ (MKPO) dianjurkan Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN) secara tahun sejak tahun 2010 sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ dan perkhidmatan transplantasi yang disampaikan di negara ini.

Pelbagai usaha dan inisiatif akan dipertingkatkan merangkumi aktiviti promosi kesedaran, kerjasama pintar dengan pelbagai pihak, penyelidikan dan peningkatan kemahiran anggota kesihatan.

Selain itu, KKM juga akan mengadakan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan pendermaan organ menerusi khutbah Jumaat.