Dua amanah digalas, 231 anggota ATM genggam diploma

SHAH ALAM – Seramai 231 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakar kejayaan apabila menerima pengiktirafan akademik menerusi Program Work-Based Learning (WBL 2.0) UiTM-MINDEF pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-105, Sidang Ke-17, pada Khamis.
Kejayaan itu membabitkan graduan kohort pertama program berkenaan yang mengiktiraf pengalaman, kemahiran serta kompetensi sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai laluan mendapatkan kelayakan akademik.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, pencapaian itu menjadi detik bermakna kerana anggota ATM berpeluang memperoleh kelayakan akademik yang diiktiraf tanpa mengabaikan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.
Menurutnya, pengalaman dalam pelbagai bidang sepanjang perkhidmatan menjadi asas penting kepada anggota ATM untuk terus meningkatkan ilmu dan kelayakan akademik.
Beliau berkata, kesediaan anggota tentera untuk kembali menuntut ilmu sambil melaksanakan amanah perkhidmatan mencerminkan komitmen tinggi terhadap pembangunan diri dan kerjaya.
Program WBL 2.0 UiTM-MINDEF merupakan inisiatif strategik antara UiTM menerusi Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Ia bertujuan menyediakan laluan pendidikan tinggi kepada anggota ATM melalui penilaian berasaskan pengalaman serta kompetensi yang diperoleh sepanjang menjalankan tugas.
Program yang dilancarkan pada 5 November 2025 itu melibatkan 231 anggota ATM bagi kohort pertama dengan penawaran lima program diploma.
Lima program berkenaan ialah Diploma Pendidikan Islam, Diploma Pengajian Sukan, Diploma Pengurusan Hotel, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat serta Diploma Seni Kulinari.
Sementara itu, kesinambungan inisiatif berkenaan diteruskan menerusi Kohort 2 yang melibatkan 181 anggota ATM.
Majlis perasmian kohort kedua berlangsung pada 26 Ogos 2026, manakala peserta dijangka menamatkan pengajian dan bergraduat pada 2027.
Kejayaan kohort pertama itu turut mencerminkan komitmen UiTM dan iCEPS dalam memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat dengan mengiktiraf pengalaman kerja sebagai salah satu laluan memperoleh kelayakan akademik.
Inisiatif berkenaan juga memperkukuh kerjasama strategik antara UiTM, MINDEF, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam memperluas akses pendidikan tinggi menerusi pembelajaran berasaskan pengalaman kerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

