KBS umum syarat geran padanan dalam masa terdekat

Hannah (belakang, lapan dari kanan) bergambar bersama johan kategori wanita, lelaki dan campuran 'Tri-Series' pada Majlis Penutup Kejohanan Dodgeball Jemputan Asia Pasifik (API) di Kompleks Sukan Shah Alam pada Ahad. - Foto: Bernama
Hannah (belakang, lapan dari kanan) bergambar bersama johan kategori wanita, lelaki dan campuran 'Tri-Series' pada Majlis Penutup Kejohanan Dodgeball Jemputan Asia Pasifik (API) di Kompleks Sukan Shah Alam pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengumumkan syarat permohonan geran padanan dalam masa terdekat untuk membolehkan persatuan sukan kebangsaan memohon inisiatif kewangan tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, persatuan sukan kebangsaan dan syarikat yang menganjurkan program sukan boleh memohon geran tersebut selepas syarat diumumkan dan ia sebagai satu langkah untuk meningkatkan kemajuan sukan di negara ini.

Beliau berkata, sukan yang sedang meningkat naik seperti Dodgeball juga digalakkan memohon sekali gus memastikan ia dapat berkembang di negara ini.

"Itu yang kita nak buat (bantu sukan Dodgeball) dengan geran padanan yang telah diberikan kepada KBS.

"Tahun ini kita ada RM40 juta, objektif pertama untuk membantu prestasi atlet kita dengan menyertai banyak pertandingan dan mereka boleh menilai diri dan prestasi mereka.

"Kita akan umumkan syarat permohonan dalam satu atau dua minggu lagi untuk banyakkan kesedaran dalam kalangan persatuan sukan kebangsaan untuk memohon," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penutup Kejohanan Dodgeball Jemputan Asia Pasifik (API) di Kompleks Sukan Shah Alam pada Ahad.

Kejohanan Dodgeball Jemputan Asia Pasifik itu disertai 140 kelab daripada 16 negara dalam saingan yang berlangsung pada Khamis dan berakhir pada Ahad.

Dalam pada itu, Hannah turut memaklumkan satu mesyuarat oleh Jawatankuasa Road To Gold (RTG) akan diadakan untuk menilai kemungkinan skuad hoki lelaki negara boleh diletakkan dalam program tersebut.

Ia selepas skuad Malaysian Tigers ketika ini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia dan menepati syarat untuk dimasukkan dalam RTG.

"RTG akan bermesyuarat dalam masa terdekat," katanya.