Sampai bila kami kena punggah air?

Perjumpaan penduduk bersama Abd Nasir bagi membincangkan isu berkenaan
Perjumpaan penduduk bersama Abd Nasir bagi membincangkan isu berkenaan
A
A
A

BALING - Sebanyak 30 keluarga di Kampung Charok Kepayang memohon bantuan paip daripada pihak berkenaan bagi menyelesaikan masalah air yang dihadapi mereka.

Difahamkan, kolam takungan Kampung Charok Kepayang berkongsi dengan kolam takungan Kampung Baru namun akibat kemarau, sumber air tidak dapat disalirkan ke kawasan Kampung Charok Kepayang.

Penduduk, Roslan Ghazali, 54, berkata, mereka memerlukan paip baharu bagi mengalirkan air dari kolam takungan Kampung Luar ke kampung terbabit.

Menurutnya, kedudukan kolam tadahan Kampung Luar yang berada di atas dari Kampung Baru dijangka dapat mengatasi masalah air.

"Masalah ini sudah banyak tahun berlaku tapi pada tahun ini keadaan semakin rumit. Pihak Kampung Charok Kepayang sudah membuat permohonan untuk mendapatkan bekalan air dari kolam Kampung Luar dan ia diluluskan.

"Namun kos bagi pemasangan paip sangat tinggi, itu belum termasuk paip penyambung ke rumah. Setiap keluarga perlu mengeluarkan kos kira-kira RM700 dan mungkin lebih lagi," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Roslan berkata, penduduk tidak mampu mengeluarkan kos setinggi itu kerana majoritinya hanya penoreh getah.

"Saya harap kerajaan negeri dapat membantu menyelesaikan masalah ini. Sekarang ini bila air tiada saya terpaksa ambil air sungai atau air dari Kampung Luar tapi untuk kegunaan minum saya akan beli air mineral," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Idris, 52, pula berkata, dia terpaksa berulang alik dari rumahnya ke rumah jiran di Kampung Luar setiap hari untuk mendapatkan bekalan air.

Menurutnya, bila berlaku masalah air dia akan mengisi air dalam botol dan dibawa pulang menaiki motosikal sejauh lima kilometer.

"Bila tiada air memang terganggu semua urusan harian tambahan pula sekarang bulan puasa. Nak masak lagi, basuh kain dan mandi semuanya perlukan air," katanya.

 Abd Nasir Idris
Abd Nasir Idris

Sementara itu, ADUN Bayu, Abd Nasir Idris berkata, beliau sudah bertemu penduduk bagi membincangkan masalah berkenaan kelmarin.

"Kerajaan perlu mengambil tanggungjawab kerana itu tugasnya. Kasihan kepada penduduk yang tercari-cari dan sedia sendiri kemudahan asas.

"Hasil penjelasan, kos bagi pemasangan poli paip penyambung dan solder mengikut saiz bagi 30 keluarga tersebut ialah RM7,429. Bagi saluran untuk disambung ke rumah pula kos diperlukan berharga RM3,940," katanya.

Abd Nasir merayu kepada kerajaan negeri supaya membantu penduduk di kampung berkenaan.

"Saya juga meminta semua pihak bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Bayu mengumpulkan sumbangan bagi menyediakan kemudahan paip di kampung ini," katanya.

Untuk sumbangan boleh hubungi Pegawai PKWR DUN Bayu Ahmad Fakrurazi Ahmad di talian 019-5643953 atau hubungi Pejabat PKWR DUN Bayu 04-4701449.