Kepimpinan Dr Abdullah Fadzil disegani ahli politik, sukan

Saarani memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Panglima Kinta, Ipoh pada Rabu.
Saarani memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Panglima Kinta, Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Sikap budiman dan berhemah tinggi yang dimiliki Datuk Seri Dr Abdullah Fadzil Che Wan menjadikan Allahyarham disegani banyak pihak, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, meskipun Allahyarham seorang yang agak pendiam, namun ketokohannya terserlah setiap kali melontarkan idea dan pandangan bagi sesuatu isu.

"Saya mengenali Allahyarham sejak beliau menerajui kepimpinan Pemuda UMNO Perak lagi, ketika itu saya pun masih muda.

"Allahyarham bukanlah seorang yang cakap sembarangan, bercakap bila perlu dan ada hujah yang nak disampaikan sahaja, itu kelebihannya sepetimana yang saya kenali," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Masjid Panglima Kinta dekat sini pada Rabu.

Saarani turut berkongsi keprihatinan Allahyarham sebagai seorang doktor perubatan apabila sering membawa peralatan perubatan ke mana-mana majlis dihadiri.

Katanya, pernah dalam satu majlis Pemuda UMNO, seorang ahli jatuh pengsan dan atas profesion sebagai doktor, Allahyarham segera memberi bantuan perubatan menggunakan kelengkapan yang dibawa.

"Jadi kita rasa begitu kehilangan kerana Allahyarham sebagai pemimpin berkaliber memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam politik, tetapi sukan badminton juga.

"Di era kepimpinannya dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) (timbalan presiden BAM ketika itu), negara memenangi Piala Thomas (1992)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di hadapan ahli keluarga di Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur kira-kira jam 5 pagi pada Rabu akibat radang paru-paru.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Panglima Kinta dekat sini sekitar jam 3.15 petang dengan dihadiri kira-kira 200 orang termasuk kenamaan, pimpinan kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Allahyarham telah dilantik sebagai Orang Besar Jajahan Kinta pada 2004 selepas bersara daripada politik.

Dalam pentadbiran kerajaan, Allahyarham pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pertahanan (1995-1999), Timbalan Menteri Luar (1987-1995) dan Ahli Parlimen Bukit Gantang (1986-2004).

Allahyarham juga telah diberikan kepercayaan menerajui BAM selaku presiden selama tujuh tahun bermula tahun 1993 hingga 2000.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas timbalan menteri, Dr Abdullah Fadzil meninggal dunia

Jenazah Abdullah Fadzil selamat dikebumikan