Reformasi akhirnya jadi 'reformati' - Khairy

Khairy menerusi podcast Keluar Sekejap (KS) bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Rabu.
Khairy menerusi podcast Keluar Sekejap (KS) bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ramai yang sudah menduga keputusan melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram akan berlaku.

Beliau berkata, sebelum kabinet dibentuk ramai yang kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan melantik Ahmad Zahid sebagai timbalan perdana menteri tetapi sangkaan itu meleset.

“Lepas benda tu jadi (Ahmad Zahid jadi timbalan Perdana Menteri), masa berlalu dan saya lihat ramai yang sdah membuat kesimpulan bahawa apa yang telah berlaku semalam iaitu kes Datuk Seri Ahmad Zahid tidak diteruskan lagi akan berlaku dan ramai yang menunggu hari tersebut.

“Tetapi yang peliknya apabila ia berlaku semalam walaupun saya seorang daripada individu yang menjangkakan perkara ini akan berlaku, namun saya masih lagi terkejut.

“Saya rasa sedih kepada Datuk Seri Anwar kerana semalam adalah ulang tahun yang ke-25 reformasi tetapi telah di batu nisankan jadi ‘reformati’,” katanya dalam program podcast Keluar Sekejap (KS) bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Rabu.

Khairy berkata, Anwar sebelum ini menderita untuk menjadi perdana menteri dan jika dilihat daripada pembentukan karaktor beliau pastikan kita mahukan pengakhiran yang baik tetapi sekarang beliau terpaksa berhadapan dengan perkara yang amat berat ini.

“Mungkin dalam perkiraan PMX, tiga empat tahun lagi orang akan lupakan mungkin akan ada isu atau skandal baru, saya yakin beliau akan buat perkiraan sebagai ahli politik.

“Mungkin beliau mahu benda-benda yang buruk dilepaskan awal dan kemudian berharap ia akan pulih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, terdapat perbezaan di antara keputusan mahkamah membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, fungsi mahkamah adalah untuk mendengar hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak dan membuat keputusan berdasarkan keterangan dihadapannya.

“Peranan mahkamah bertindak sebagai pengadil, mahkamah tidak terlibat dengan pendakwaan dan pembelaan individu tersebut.

“Dalam kes Ahmad Zahid mahkamah telah putuskan berdasarkan bukti-bukti yang telah dikemukakan, setakat ini pendakwaan telah membuktikan bahawa terdapat kes prima facie, maknanya hakim mengatakan bahawa ada kes untuk dijawab.

“Sebab itu beban kepada Datuk Seri Ahmad Zahid untuk memberi keterangan bahawa beliau tidak bersalah berdasarkan pertuduhan-pertuduhan tersebut,” katanya.

Jelas Khairy, namun Peguam Negara memutuskan dengan budi bicaranya untuk tidak meneruskan perbicaraan yang mana beliau berhak melakukannya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Berbeza dengan kes Tan Sri Muhyiddin, mahkamah telah menolak pertuduhan yang dikemukakan oleh pendakwaraya dan mengemukakan pertuduhan itu ‘cacat’ kerana maklumat atau elemen-elemen kesalahan dalam pertuduhan tersebut tidak mencukupi,” ujarnya.