YaPEIM sedia peruntukan RM40 juta bantu peserta eKasih

Parihah (dua dari kiri) ketika melihat rumah seorang penerima yang dibaik pulih di Machap Baru, pada Selasa.
Parihah (dua dari kiri) ketika melihat rumah seorang penerima yang dibaik pulih di Machap Baru, pada Selasa.
A
A
A

ALOR GAJAH - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyediakan peruntukan RM40 juta bagi pembangunan program sosioekonomi, pendidikan dan kebajikan kepada peserta eKasih di seluruh negara pada tahun ini.

Ketua Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan YaPIEM, Parihah Hasan berkata, ia termasuk perbelanjaan di bawah Program Inspirasi MyHAUS untuk projek baik pulih dan pembinaan bina baharu 85 rumah berjumlah RM5 juta.

Menurutnya, usaha ini bertujuan untuk menyediakan kediaman yang sewajarnya kepada peserta yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) atau asnaf majlis agama Islam negeri.

"Sasaran kita juga untuk kelestarian kehidupan iaitu melibatkan bantuan dan bimbingan perniagaan kepada kumpulan sasar berkenaan.

"Jadi kita akan membantu dan memantau mereka yang terlibat dalam perniagaan atau keusahawanan untuk pergi lebih jauh menerusi peruntukan yang disalurkan," katanya ketika ditemui pada Program MyHaus di Kampung Melayu, Machap Baru, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Melaka Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Megat Azlani Megat Ramli dan Pengurus YaPEIM Melaka dan Negeri Sembilan, Azharry Giman.

Tambahnya, yayasan itu turut menumpukan aspek sahsiah diri bagi memberikan bantuan pendidikan kepada anak-anak penerima di bawah program MyHAUS.

"Ini dapat membantu kumpulan sasar dari pelbagai latar belakang yang dilihat sekali gus menjadi pemangkin semangat kepada individu untuk keluar dari kepompong kemiskinan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada program itu, dua rumah menerima peruntukan baik pulih membabitkan kos RM20,000 setiap rumah di Machap Baru dan Kampung Seri Terubuk Masjid Tanah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!