Elak berhibur di pusat hiburan, 'pau' orang awam

Kok Chin (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pegawai pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pulau Pinang di Ibupejabat Kontinjen Pulau Pinang pada Selasa.
Kok Chin (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pegawai pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pulau Pinang di Ibupejabat Kontinjen Pulau Pinang pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis di negeri ini diingatkan agar tidak berkunjung ke pusat hiburan untuk tujuan berhibur kerana ia akan memberi persepsi tidak baik terhadap Kontinjen Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, anggota dan pegawai hanya dibenarkan ke pusat-pusat hiburan di atas urusan kerja sahaja.

"Sejak kebelakangan ini, ada laporan berita menyiarkan berlaku di beberapa kontinjen lain, ada pegawai kanan polis (PKP) dan pegawai rendah polis (PRP) masih mengunjungi pusat hiburan untuk berfoya-foya, melanggan GRO, minum minuman keras dan mengambil dadah.

"Tindakan seperti ini telah menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), mencemar nama baik, integriti PDRM dan bertentangan dengan dasar pasukan untuk mewujudkan satu organisasi yang kompeten dan berintegriti serta bebas rasuah.

"Saya ingin mengingkatkan supaya perkara ini tidak berlaku di Kontinjen Pulau Pinang. Pegawai polis hanya dibenarkan mengunjungi pusat hiburan untuk menjalankan tugas selain telah mendapat kebenaran daripada ketua jabatan," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pulau Pinang di Ibupejabat Kontinjen Pulau Pinang pada Selasa.

Tambah beliau, semua ketua jabatan, ketua polis daerah dan ketua balai dikehendaki memantau dan memastikan semua PKP dan PRP tidak terlibat dalam aktiviti tersebut.

Dalam pada itu, Kok Chin juga mengingatkan semua pegawai dan anggota supaya tidak terlibat dalam aktiviti atau program berunsur politik.

Artikel Berkaitan:

"PDRM adalah sebuah organisasi kerajaan yang memberikan perkhidmatan profesional dan berkualiti dalam melindungi negara bagi menjamin masyarakat selamat, aman dan sejahtera. Semua anggota dan pegawai dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti atau program yang mempunyai unsur politik.

"Larangan ini termasuk memberikan pandangan yang berat sebelah di atas sebarang isu antara parti politik.

"Ketua formasi, ketua jabatan dan ketua polis daerah dikehendaki memantau perkara ini dan sekiranya terkesan sesiapa yang mengingkari arahan, tindakan tatatertib perlu dikenakan ke atas mereka," tambahnya.

Dalam ucapannya juga, Kok Chin memberi amaran supaya tidak melakukan pemerasan ketika menjalankan tugas.

Beliau berkata, semua PKP dan PRP diberikan tanggungjawab untuk menjalankan tugas tetapi jangan disalah guna seperti memeras orang yang diperiksa dengan tujuan supaya pesalah tidak ditangkap atau diambil tindakan.

"Semua pegawai polis bertanggungjawab, perlu mengambil tahu tingkah laku pegawai bawahan sekiranya terkesan sebarang pelanggaran salah laku, displin, etika atau kelemahan-kelemahan yang tidak wajar.

"Ia bagi memastikan keutuhan dan integriti pegawai polis dapat ditingkatkan di samping memelihara dan menjaga imej pasukan supaya ia kekal terpelihara," katanya.