Isu 3R masih dimainkan

Kebanyakan isu 3R ini sering dimainkan ketika kerancakan menjelang dan pada musim pilihan raya. - Foto fail/ ROSLI TALIB
Kebanyakan isu 3R ini sering dimainkan ketika kerancakan menjelang dan pada musim pilihan raya. - Foto fail/ ROSLI TALIB
A
A
A

SANGAT pelik apabila isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) ini masih dikesan berlaku biarpun penekanan telah diberikan oleh pihak berkuasa.

Terbaru, polis mengesahkan telah merekod keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, Johor, baru-baru ini yang didakwa mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan yang mempunyai kaitan dengan institusi diraja.

Lebih menyedihkan, tanggal 31 Ogos, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataannya mengesahkan penahanan dua lelaki tempatan yang dipercayai memuat naik hantaran di media sosial berbaur penghinaan terhadap institusi diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek pertama berusia 41 tahun yang dipercayai pengendali akaun Facebook Flat Earth Malaysia ditahan di Kampung Sungai Kati, Ipoh, Perak, ditahan berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap Institusi Diraja Johor.

Tangkapan kedua pula melibatkan individu berusia 47 tahun dipercayai pengendali akaun ‘Iman Mustaqim’ ditahan di Langkap, Perak kerana membuat hantaran mengandungi kenyataan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kebanyakan isu 3R ini sering dimainkan ketika kerancakan menjelang dan pada musim pilihan raya.

Selain Abdul Hadi, turut pernah disiasat membabitkan kes 3R ialah Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Untuk makluman, siasatan kes 3R ini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mei lalu, PDRM memaklumkan satu pasukan siasatan khas dikenali sebagai Pasukan Siasatan Khas 3R telah diwujudkan sejak Mac bagi menangani isu terbabit supaya keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia terpelihara dan terjamin.

Polis juga akan mengambil tindakan dengan pantas untuk menyiasat dan memastikan pelaku dikesan untuk tindakan sewajarnya.

Oleh itu, semua pihak terutamanya pemimpin politik perlu lebih berhemah dalam ucapan mereka supaya tidak menyentuh isu yang boleh memudaratkan keamanan negara yang terkait dengan isu 3R.