Rumah Hantu jadi tarikan di Karnival Pendidikan Sinar Bestari

Rumah Hantu Buku Prima bakal menjadi tarikan utama pengunjung Karnival Pendidikan Sinar Bestari bermula 8 hingga 10 September ini. - Gambar hiasan 123rf, gambar kecil: Anis Syamila
Rumah Hantu Buku Prima bakal menjadi tarikan utama pengunjung Karnival Pendidikan Sinar Bestari bermula 8 hingga 10 September ini. - Gambar hiasan 123rf, gambar kecil: Anis Syamila
A
A
A

SHAH ALAM - Rumah Hantu Buku Prima bakal menjadi tarikan utama untuk menguji keberanian pengunjung terutama penggemar genre seram yang hadir ke Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) bermula 8 hingga 10 September ini.

Penolong Pengurus Jabatan Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Anis Syamila Abdul Halim berkata, pengunjung yang membeli novel seram keluaran Buku Prima dibenarkan merasai pengalaman masuk ke rumah hantu secara percuma.

Menurutnya, bayaran RM2 dikenakan bagi pengunjung lain, namun hanya yang berumur tujuh tahun dan ke atas sahaja dibenarkan.

"Masa yang diberikan untuk setiap sesi adalah 10 minit dengan kapasiti empat orang sahaja yang dibenarkan masuk.

“Rumah hantu akan bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 5 petang setiap hari," katanya.

Beliau menambah, aktiviti rumah hantu selari dengan objektif menarik lebih ramai peminat genre seram.

“Mereka yang hadir ke rumah hantu boleh mendapatkan karya seram di Jualan Gudang Buku Karangkraf sepanjang tiga hari ini.

“Karnival ini kita tahu memang disasarkan kepada pelajar sekolah tetapi kami ingin memperkenalkan buku-buku seram bagi pengunjung yang datang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seramai 800 pengunjung sehari dijangka hadir sepanjang program tersebut berlangsung.

“Walaupun karnival ini banyak aktiviti yang berkaitan pendidikan, kerjaya dan pertandingan, tapi dengan adanya rumah hantu ada aktiviti seronok pelajar-pelajar dapat buat,” ujarnya,

Dalam pada itu, Anis berkata KPSB turut mengadakan program Curhat iaitu ruangan kepada pengunjung untuk meluahkan perkara yang terbuku dalam hati untuk dikongsi.

Ujarnya, program tersebut terbuka kepada semua pelajar dan pengunjung yang hadir.

“Curhat merupakan satu ruangan yang kita akan buka dan ada tajuk ditulis pada papan. Mereka boleh tulis apa sahaja yang terbuku,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Pengarah projek KPSB, Meen Tahrin berkata, karnival tersebut memberi peluang kepada ibu bapa dan masyarakat mengetahui lebih lanjut dunia pendidikan berasaskan digital.

Tambah beliau, antara aktiviti yang akan diadakan adalah demonstrasi unit beruniform, pameran digital skill dan kerjaya serta 60 pempamer seperti Planetarium Negara, Farm Fresh, AirAsia Academy, Grup Buku Karangkraf, Petrosains selain Les'Copaque.