Haiwan eksotik jadi tarikan pengunjung Karnival Pendidikan Sinar Bestari

Farm in The City yang terletak di Seri Kembangan, Selangor.
Farm in The City yang terletak di Seri Kembangan, Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengunjung Karnival Pendidikan Sinar Bestari berpeluang untuk mendekati beberapa jenis haiwan eksotik yang jarang ditemui tanpa perlu berkunjung ke zoo pada 8 hingga 10 September ini di Dataran Karangkraf di sini.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Farm in The City, Wong Sook Peng berkata, antara haiwan eksotik yang dipamerkan semasa karnival tersebut ialah naga berjanggut (bearded dragon), landak mini (hedgehog), babi guinea (guinea pig), alpaka (alpaca) dan cicak lidah biru (blue tongue skink).

Wong Sook Peng.
Wong Sook Peng.

Menurutnya, pengunjung turut berpeluang untuk menyentuh, membelai, bergambar dan memberi makan kepada haiwan tersebut secara percuma.

“Kami teruja memberikan pengalaman interaksi rapat antara haiwan dan kanak-kanak dalam karnival ini agar mereka seronok mengunjungi ke zoo mini ini.

“Selain itu, kami turut menyediakan promosi tiket jualan iaitu hanya RM27 bagi kanak-kanak dan dewasa RM32 agar mereka boleh berkunjung ke zoo kami dengan harga yang lebih murah pada masa akan datang.

“Pakej kumpulan sekolah kepada guru juga kami tawarkan sepanjang karnival berlangsung,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Farm in The City merupakan sebuah zoo terletak di Seri Kembangan, Selangor yang menggabungkan keseronokan hidupan liar dengan keindahan alam semula jadi, di mana haiwan-haiwan kebanyakannya bergerak bebas dan mesra pengunjung.

Artikel Berkaitan:

Bagi penganjuran kali ini, syarikat tersebut mengambil inisiatif untuk mempamerkan haiwan-haiwannya kepada pengunjung secara percuma sepanjang karnival tersebut yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 7 malam.

Tambah Sook Peng, Farm in The City memenangi anugerah di Malaysia sebagai zoo haiwan peliharaan yang memberikan peluang kepada pelajar serta guru untuk menimba pengalaman bersama.

“Kami berharap agar dapat memberikan kesedaran dan pendedahan kepada semua guru dan murid yang hadir ke karnival ini,” ujarnya.