Nur Jazlan dakwa Bersatu semakin terdesak di Pulai

Nur Jazlan
Nur Jazlan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa semakin tersepit dengan gerak kerja jentera kempen calon mereka di Pulai apabila dilihat tidak serancak seperti di Simpang Jeram yang ditandingi wakil Pas.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa, kelemahan jentera kempen Perikatan Nasional (PN) di Pulai disebabkan orang-orang Pas lebih memberi tumpuan kepada calon mereka di Simpang Jeram yang dilihat memiliki peluang lebih cerah di kerusi berkenaan.

"Nampaknya Bersatu mula disisihkan oleh Pas. Masa mula-mula kempen ramai pemimpin heavyweight Pas turun ke Johor untuk berkempen, tapi nampak gayanya kedatangan Pas itu nak kempen untuk menang calon mereka di Simpang Jeram.

"Sebab itulah kita nampak Bersatu baru nak start all out bila masuk pusingan kedua kempen semalam. Barulah nampak pemimpin-pemimpin utama Bersatu turun berkempen di PRK Pulai.

"Mungkin mereka baru sedar Pas bukan lagi rakan politik mereka yang boleh dikerah buat kerja sesuka. Mungkin mereka baru sedar Pas sekarang ini sudah up status jadi tuan besar dalam PN," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Isnin.

Jelas Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, daripada maklum balas yang disampaikan oleh rakan-rakannya di Simpang Jeram, kempen PN di bawah Pas sememangnya rancak dan bertenaga jika dibandingkan dengan situasi kempen calon Bersatu di Pulai.

Dakwanya, melalui laporan diterima daripada jentera kempen beliau sendiri, calon Bersatu di Parlimen Pulai terpaksa berkempen sendirian tanpa banyak bantuan daripada jentera Pas.

"Bila baca laporan media pun mereka tulis kempen PN di Simpang Jeram lebih meriah berbanding di Pulai.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kerana itulah para pemimpin artistokrat dalam Bersatu terpaksa perah keringat sendiri turun padang untuk pastikan calon mereka menang di Pulai.

"Malah calon Bersatu, saudara Zulkifli (Jaafar) terpaksa keluarkan kenyataan kononnya menafikan bahawa PN terutamanya Pas hanya beri fokus kepada kempen di kerusi Simpang Jeram berbanding di kerusi yang ditandinginya," katanya.

Nur Jazlan berkata, keadaan itu jauh berbeza dengan jentera kempen PH-BN di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang berjalan cukup agresif dan tersusun.

Katanya, pemimpin-pemimpin utama dari PH dan BN silih berganti turun padang berkempen untuk memastikan kemenangan calon di dua-dua kawasan PRK.

"Lepas pemimpin UMNO, datang pula pemimpin PKR, lepas itu pemimpin DAP pula turun kempen, lepas itu pemimpin Amanah juga selalu lawat kawasan.

"Daripada presiden parti sampailah ke ahli akar umbi BN dan PH dari seluruh negara turun membantu kempen calon kita di Pulai dan Simpang Jeram.

"Sebab itulah PN terutamanya Bersatu makin cemas dan mereka sendiri dapat rasakan akan kalah di kedua-dua PRK ini," katanya.