Isu slogan DAP: Jaminan PM legakan orang Melayu - Nur Jazlan

Nur Jazlan
Nur Jazlan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengundi Melayu terutamanya di Parlimen Pulai boleh menarik nafas lega selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menentang DAP jika mereka menolak Islam dan menpertikaikan perkara-perkara sensitif membabitkan orang Melayu dalam Perlembagaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, dengan jaminan tegas daripada Anwar itu, ia sedikit sebanyak melegakan hati orang Melayu yang selama ini trauma dengan slogan Malaysia Malaysian dan Negara Sekular yang diperjuangkan DAP sebelum ini.

Katanya, Perdana Menteri sebagai kuasa eksklusif tertinggi dalam pentadbiran negara mahu orang Melayu yakin bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya akan tetap memastikan kesucian Islam dan kedaulatan Perlembagaan tetap dipertahankan dalam apa jua keadaan.

"Kelmarin di pentas kempen PH-BN di Parlimen Pulai yang dihadiri oleh ribuan masyarakat dan juga para pemimpin dari UMNO, DAP, PKR dan Amanah, Anwar Ibrahim beri jaminan akan pastikan DAP tak berani tolak Islam atau mencabar Perlembagaan Malaysia.

"Bagi saya, jaminan tegas daripada Anwar itu pastinya akan banyak melegakan kerisauan orang Melayu tentang kedudukan Islam dan Perlembagaan negara selepas Kerajaan Perpaduan diasaskan atas kerjasama PH-BN," katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Selasa.

Ujar Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, walaupun sebelum ini sudah acap kali pucuk pimpinan UMNO memberi penerangan dan penjelasan tentang kesanggupan DAP untuk patuh dan tak menyentuh tentang perkara-perkara sensitif dalam perlembagaan tapi masih ramai meraguinya.

Malah kata beliau, ada juga yang rancak membuat tuduhan sembrono cakap orang Melayu dalam UMNO, PKR dan Amanah akan 'ditelan' oleh DAP dalam Kerajaan Perpaduan ini.

"Parti pembangkang pun tak kurang hebat dengan fitnah mereka. Macam kata Presiden Pas bahawa Islam mengharamkan sebarang hubungan yang boleh menghilangkan kepimpinan Islam atau tidak menegaskan kedaulatan Islam atau tiada kuasa Islam untuk mentadbir kehidupan manusia.

Artikel Berkaitan:

"Tapi cuba lihat sudah hampir setahun Kerajaan Perpaduan bersama, hubungan tetap harmoni hingga hari ini. Kalau ada sedikit sebanyak komen antara pemimpin itu benda biasa, sebab dalam demokrasi kita meraikan perbezaan untuk cari titik persamaan.

"Jadi, saya nak ucapkan terima kasih kepada PM yang mungkin berikan jaminan rentetan daripada cadangan saya yang minta DAP buat perubahan untuk yakinkan orang Melayu untuk terus sokong Kerajaan Perpaduan ini. Walaupun ia adalah pandangan peribadi saya namun ia mendapat perhatian daripada ketua kepada Kerajaan Perpaduan," katanya.

Jelas Nur Jazlan, apa yang penting baginya, jaminan daripada Anwar yang datang beberapa hari sebelum pengundi Parlimen Pulai membuat keputusan mereka pada kertas undi amat penting terutamanya kepada ahli akar umbi UMNO dan pengundi Melayu.

Beliau juga yakin Perdana Menteri akan tetap memelihara hak bukan Melayu dalam Kerajaan Perpaduan dan dalam masa yang sama mempertahankan perkara-perkara yang sememangnya sudah termaktub dalam Perlembagaan.

"Ini kerana asas utama Kerajaan Perpaduan adalah menjadikan kepentingan orang Melayu sebagai teras utama dan kebajikan serta kemakmuran masyarakat bukan Melayu tetap terjaga. Inilah uniknya Kerajaan Perpaduan hari ini.

"Sebab itulah saya minta pengundi Melayu di Parlimen ini keluar beramai-ramai pada 9 September nanti dalam pilihlah calon dari PH-BN untuk jadi wakil rakyat di sini.

"Usah ada lagi keraguan dan cubalah hilang trauma terhadap slogan Malaysia Malaysian DAP yang sudah pun diberikan janji oleh pemimpin parti itu sendiri serta jaminan daripada PM,' katanya.

Justeru, Nur Jazlan menyeru jentera PRK termasuk DAP untuk terus meyakinkan pengundi Cina keluar menunaikan tanggungjawab memilik pemimpin baharu pada 9 September ini.

"Mereka perlu pastikan majoriti pengundi Cina yang keluar mengundi itu pangkah calon PH, saudara Suhaizan sebagai pengganti kepada Allahyarham Salahuddin yang juga mereka berikan kemenangan sebelum ini," katanya.