[VIDEO] DAP perlu berubah jika mahu sokongan Melayu - Nur Jazlan

A
A
A

JOHOR BAHRU - DAP perlu berubah menjadi parti yang sederhana supaya boleh terus disokong oleh masyarakat Cina dan pengundi Melayu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, DAP yang merupakan rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan perlu mengikut formula kejayaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang berubah mengikut landskap politik hari ini.

"Bila saya bersembang dengan pengundi Melayu di Selangor (ketika PRN lepas) dan Johor (ketika berkempen), majoriti mereka cakap masih tak boleh nak terima dengan mudah cara politik DAP yang bagi mereka masih terikat dengan tanggapan parti itu adalah parti totok orang Cina.

"Bila saya tanya kenapa selama ini orang Melayu boleh terima MCA dalam BN, mereka kata MCA tak ekstrem dan UMNO jadi parti dominan dalam gabungan itu.

"Berbeza dengan DAP, mereka kata tak boleh terima agenda sekular dalam parti itu. Sebab memang bertentangan sama sekali dengan syariat Islam dan Melayu. Jadi sebab itulah orang Melayu macam letak batu sempadan besar nak terima atau sokong DAP walaupun sudah bekerjasama dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.

Ketua UMNO Bahagian Pulai itu seterusnya menegaskan, sekiranya benar DAP mengharapkan sokongan orang Melayu melalui kerjasama dengan UMNO kali ini, parti itu perlu berani membuat perubahan besar untuk mencapai kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

DAP perlu mengikut formula kejayaan BN dan UMNO yang berubah mengikut landskap politik hari ini. - Gambar kecil: Nur Jazlan
DAP perlu mengikut formula kejayaan BN dan UMNO yang berubah mengikut landskap politik hari ini. - Gambar kecil: Nur Jazlan

"Tiada cara lain untuk meyakinkan orang Melayu bahawa DAP hari ini sudah berbeza dari sebelumnya, selain daripada mereka sanggup gugurkan agenda Negara Sekular dan slogan Malaysia Malaysian dalam perlembagaan parti mereka.

Artikel Berkaitan:

"Sebab dua agenda itulah terus jadi trauma kepada orang Melayu dan buatkan mereka tak boleh terima perjuangan DAP.

"Biarpun sebelum ini sudah ada orang Melayu yang jadi ahli, pemimpin malah jadi wakil rakyat, namun pada saya, majoriti orang Melayu melihat ia sekadar satu cara kecil untuk 'menghalalkan' parti itu di mata orang Melayu," katanya.

Nur Jazlan yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara berkata, jika DAP masih was-was untuk lakukan perubahan besar, DAP dirasakan akan terus dipulau oleh pengundi Melayu.

Malah tambahnya, UMNO juga akan terus ditolak orang Melayu selagi UMNO bekerjasama dengan DAP di dalam kerajaan.

"Satu lagi situasi besar yang perlu DAP hadapi ialah gelombang sokongan orang Melayu terhadap Pas akan jadi lebih kuat pada PRU16 dan masa depan.

"Oleh itu, kita akan lihat keadaan politik yang ekstrem di mana orang Cina akan terus sokong DAP sebagai parti mereka dan orang Melayu akan beralih kepada Pas sebagai parti mereka," katanya.