Johor akan mundur jika ikut acuan Islam ala Pas - Nur Jazlan

A
A
A

JOHOR BAHRU - Johor akan mundur dari semua segi termasuk ekonomi, pembangunan sosial dan syiar Islam jika corak pentadbiran kerajaan negeri mengikut acuan Islam Pas.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa, acuan Islam ala Pas, tidak sesuai dengan Johor.

"Pendek kata kalau nak ikut acuan Islam ala Pas yang macam Kerajaan Iran dan Taliban itu, maka Johor yang sudah maju akan mundur ke belakang dari semua segi sama ada ekonomi, pembangunan, sosial dan syair Islam sendiri.

Nur Jazlan
Nur Jazlan

"Dari sudut pendidikan agama, sistem sekolah agama di Johor lebih terkedepan kalau nak dibandingkan dengan sistem pendidikan Islam di Kelantan kerana diuruskan dengan baik oleh Majlis Agama Islam Johor dan kemudahan infrastruktur sekolah pun dijaga dengan baik.

"Dari segi ekonomi pula, tak payahlah saya cerita panjang lebar sebab semua sedia maklum dengan kemajuan negeri Johor sebagai pintu masuk utama selatan tanah air," ujarnya dalam kenyataan dimuat naik di Facebooknya pada Jumaat.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Pulai itu, pelbagai kemajuan dan projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat terus dilaksanakan oleh kerajaan negeri diterajui UMNO berbanding Kelantan yang bergelut dengan kemudahan asas.

"Kelantan yang diperintah sejak lebih 30 lalu, apa kemajuan yang parti Islam itu nak banggakan? Masalah keperluan asas rakyat iaitu isu pun tak boleh nak selesaikan apatah lagi nak sembang tinggi melangit tentang ekonomi dan pelaburan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Malah ramai orang Kelantan atau Terengganu datang cari rezeki di Johor kerana peluang pekerjaan amat luas sebab kemajuan ekonomi negeri ini yang bersempadan dengan Singapura.

"Lagipun kalau mereka tak keluar merantau dari Kelantan, apakah peluang pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan Pas untuk mereka di sana dengan pertumbuhan ekonomi dan KDNK antara yang paling tercorot dalam kalangan negeri-negeri di negara ini," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara menambah gelombang merah biru bangsa Johor akan melawan gelombang hijau yang dibawa Pas.

"Sejak PRN Johor sebelum ini, cubaan Pas bawa Gelombang Hijau mereka dilenyapkan dengan Gelombang Merah Biru Bangsa Johor. Orang Johor tak benarkan politik jumud Pas yang bertopengkan agama untuk bertapak kukuh di sini.

"Saya yakin pengundi-pengundi di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai sekali lagi akan hukum ketaksuban politik yang cuba dibawa Pas," katanya.