Dr M digesa henti buat kenyataan cetus ketegangan kaum

Sheikh Omar Bagharib Ali.
Sheikh Omar Bagharib Ali.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mewujudkan ketegangan kaum.

Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Sheikh Omar Bagharib Ali berkata, kenyataan Dr Mahathir yang menyifatkan parti politik pimpinan bukan Melayu sebagai parti pendatang adalah tidak wajar.

Menurutnya, parti-parti berkenaan sah didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan dibenarkan berpolitik di bawah kerangka Perlembagaan.

“Saya keliru dengan pandangan beliau (Mahathir) kerana pernah menerajui UMNO dan Barisan Nasional (BN) selain bekerjasama dengan MCA, MIC, Sabah serta Sarawak.

“Negara kita ada undang-undang termasuk hal politik dan ia bergerak dengan Perlembagaan. Isu pendatang telah lama, sekarang orang tidak membincangkan lagi masalah tersebut.

“Saya risau kenyataan itu akan menyebabkan wujud jurang perkauman antara kaum dan akhirnya masyarakat akan berpecah-belah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada Isnin, media melaporkan Dr Mahathir menyifatkan parti politik yang diterajui bukan Melayu sebagai parti pendatang (migran) ketika berucap pada program ceramah di Markas Pas Bakri di Muar, Johor.

Menurut Mahathir, keengganan orang bukan Melayu untuk mengasimilasikan budaya Melayu termasuk mewujudkan parti politik sendiri menyumbang kepada isu perkauman di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Sheikh Omar menambah, isu tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan bekas Perdana Menteri itu kerana bangsa Malaysia telah diperkenalkan sejak dahulu termasuk semasa Wawasan 2020.

“Selain beliau, bekas Perdana Menteri kita seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Najib Tun Razak masing-masing memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia serta 1 Malaysia.

“Ini menunjukkan keterangkuman pelbagai kaum di negara ini yang mengiktiraf mereka selain hidup aman damai di bawah negara Malaysia," ujarnya.