KPT perluas IIP bangunkan bakat berkemahiran tinggi

Mohamed Khaled menandatangani plak ketika mengadakan lawatan ke Oppstar Technology Sdn Bhd di Bangunan 12U, Sains@USM di Bukit Jambul pada Isnin.
Mohamed Khaled menandatangani plak ketika mengadakan lawatan ke Oppstar Technology Sdn Bhd di Bangunan 12U, Sains@USM di Bukit Jambul pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Program Serap Industri (IIP) atau 3u1i Apprenticeship (3u1i) adalah salah satu usaha dalam membangunkan bakat berkemahiran tinggi serta menepati permintaan industri sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Susulan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperluaskan program berkenaan dengan merangkumi universiti dan sektor lain.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program itu dirangka berdasarkan pendekatan 3u1i yang memfokuskan kepada pembelajaran di universiti dan pendedahan praktikal industri.

Oleh demikian, kata Mohamed Khaled, ia memberi peluang kepada pelajar untuk meneruskan pekerjaan bersama industri dengan gaji premium lebih RM4,000 apabila bergraduasi kelak.

"IIP yang dipelopori oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kini memberi penekanan kepada pembangunan bakat dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), yang mana Oppstar Bhd menjadi syarikat perintis di Malaysia memulakan program inkubasi rekabentuk litar bersepadu di universiti," katanya selepas mengadakan lawatan ke Oppstar Technology Sdn Bhd di Bangunan 12U, Sains@USM di Bukit Jambul di sini pada Isnin.

Mohamed Khaled berkata, KPT akan menjadikan IIP sebagai platform nasional yang disediakan oleh universiti dengan kerjasama pihak industri.

"Ia bagi membolehkan program latihan yang diwujudkan pada penggal terakhir pembelajaran sesuai dengan keperluan industri sebelum mereka diserap masuk ke alam pekerjaan.

"Kita juga akan melihat supaya IIP ini turut merangkumi penyertaan universiti lain dan juga sektor yang lain antaranya bioteknologi dan perubatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, program tersebut turut menarik minat beberapa industri lain antaranya Skyechip, NI, Advantest, Efinix, Infinecs, StarFive dan Infineon bagi melaksanakan IIP mereka.

"Buat masa ini, terdapat 18 syarikat yang berminat untuk melaksanakan program IIP ini. Pelajar akan dibayar RM1,500 hingga RM2,000 semasa melakukan projek tahun akhir. IIP ini juga menjadi model kepada universiti lain bagi diaplikasikan di dalam kurikulum mereka," katanya.

Jelas beliau, KPT bersetuju untuk memberi peranan kepada USM untuk mengetuai platform latihan industri ini dalam bidang E&E, yang akan melibatkan kira-kira 4,000 pelajar dari semua universiti awam dan swasta di Malaysia setiap tahun.

"Sektor E&E memerlukan sekurang-kurangnya 6,500 jurutera mahir bagi menampung perkembangan industri sektor ini untuk lima tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM telah melancarkan IIP pada Sidang Akademik 2022/2023.

Kata Abdul Rahman, seramai 47 orang pelajar (kohort pertama) telah berpeluang untuk dilatih semasa projek tahun akhir mereka, dengan penyertaan lima syarikat.

"Untuk kohort kedua Sidang Akademik 2023/2024, dianggarkan hampir 200 orang pelajar akan terlibat dalam IIP ini dengan penyertaan 25 syarikat," katanya.