'Putri dikurniakan salah satu suara bidadari paling manis'

Putri Ariani . Gambar kecil: Kemerduan suara penyanyi Indonesia, Putri Ariani turut mendapat perhatian bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Putri Ariani . Gambar kecil: Kemerduan suara penyanyi Indonesia, Putri Ariani turut mendapat perhatian bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
A
A
A

KEMERDUAN suara penyanyiIndonesia, Putri Ariani turut mendapat perhatian bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Dr Noor Hisham Putri dikurniakan suara bidadari yang paling manis.

“Putri Ariani telah menjadi seorang superstar dan mungkin akan memenangi anugerah Grammy pada masa akan datang.

“Dia adalah contoh bahawa ketidakupayaan bukanlah bermaksud dunia telah berakhir.

Putri dikurniakan salah satu suara bidadari yang paling manis. Masya-ALLAH...” ciapannya di akaun Twitter.

Putri atau nama sebenarnya, Ariani Nisma Putri, 17, yang juga merupakan seorang remaja cacat penglihatan meraih perhatian ramai apabila mendapat Golden Buzzer di program America’s Got Talent (AGT) daripada juri terkemuka, Simon Cowell.

Putri tampil dengan sebuah persembahan luar biasa menerusi lagu ciptaannya sendiri, berjudul Loneliness sambil bermain piano.

Persembahan itu bukan sahaja berjaya memukau penonton, tetapi juga juri program tersebut, Simon Cowell yang memuji bakat hebatnya, sekali gus memberikan Golden Buzzer buat Putri.

"Awak baru berusia 17 tahun. Awak sudah menulis lagu dan juga mempunyai suara tersendiri yang menakjubkan. Awak adalah salah seorang penyanyi terbaik yang pernah kami miliki dalam program kami,” kata Cowell.

Terpukau dengan kemerduan suara Putri, Simon turut meminta gadis berusia 17 tahun itu menyampaikan lagu kedua dengan menyanyikan lagu hit karya asal Elton John berjudul Sorry Seems To Be The Hardest Word.

Dalam pada itu, bakat Putri juga turut mendapat perhatian supermodel dan artis terkenal Hollywood, Heidi Klum.

“Kisah yang memberi inspirasi... suara yang luar biasa... saya dapat melihat Grammy pada masa hadapan untuk Putri,” tulis Heidi di akaun Twitter miliknya.

Sebelum ini, ketika berusia lapan tahun, Putri pernah memenangi program Indonesia's Got Talent pada 2014.

Selain itu, Putri juga pernah tampil dalam majlis perasmian Sukan Para Asia 2018 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Putri juga turut memiliki album berjudul Melihat Dengan Hati pada tahun 2020 dan Tak Mampu Lupa yang mendapat 11 juta penstriman di platform Spotify.

Untuk info, Golden Buzzer hanya diberikan kepada lima peserta yang bertanding dalam AGT dan akan terus mara ke peringkat suku akhir.