KPT, KSM perlu kerjasama wujud dana latihan industri

Barjoyai, Muhammad Asree
Barjoyai, Muhammad Asree
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi diminta bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mewujudkan sebuah dana latihan industri, bagi memberi bantuan kewangan kepada pelajar yang menjalani latihan industri di syarikat terpilih.

Ahli Ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Barjoyai Bardai berkata, penubuhan dana itu, dapat menyelaras pemberian elaun yang bersesuaian kepada pelatih industri, bagi menampung keperluan harian mereka sepanjang menjalani latihan tersebut.

"Pihak Institut Pengajian Tinggi (IPT) boleh bekerjasama dengan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), kerana syarikat yang mencarum dengan HRDF dapat menikmati tawaran latihan yang bersesuaian dengan pekerjaan mereka secara percuma.

"Jadi sekiranya IPT dapat sama-sama mewujudkan dana latihan industri dan mencarum dengan HRDF, elaun latihan industri itu lebih mudah diselaraskan, sekali gus mengurangkan beban pelajar yang sedang menjalani latihan industri,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin meninta syarikat supaya mempertimbangkan pemberian elaun yang munasabah kepada pelatih industri, bagi menampung keperluan harian mereka seperti kos tambang dan makanan.

Anwar berkata, bagaimanapun kerajaan tidak akan menetapkan satu kaedah pembayaran yang jelas kepada pelatih industri, memandangkan latihan itu bukan bersifat paksaan.

Barjoyai berkata, pelajar praktikal juga boleh dibayar mengikut kadar produktiviti mereka, sekiranya pelajar berkenaan dapat memberi pulangan atau keuntungan kepada syarikat, kerana pada hakikatnya majikan sudah melaksanakan tanggungjawab untuk melatih pelajar berkenaan.

Mengakui tekanan kos sara hidup pelajar kini, Barjoyai berkata seorang pelajar memerlukan sekurang-kurangnya RM500 sebulan untuk menampung keperluan mereka, tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan serta bergantung kepada lokasi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhammad Asree Abdul Aziz, mencadangkan kerajaan memberi subsidi upah latihan industri atau pelepasan cukai khas kepada syarikat terlibat.

Beliau berkata, langkah itu akan memberi keputusan menang-menang kepada semua pihak, memandangkan banyak syarikat masih dalam proses pemulihan ekonomi selepas berdepan pandemik Covid-19 sebelum ini.

"Kami memahami kos sara hidup terus meningkat tanpa dijangka dan pinjaman pendidikan dan biasiswa semakin menipis peluang untuk diperolehi, namun pelajar juga harus memahami apakah tujuan utama latihan industri ini.

"Perlu difikirkan juga kesanggupan pihak industri dalam menerima pelajar ini untuk diberi latihan di syarikat mereka, namun pihak industri juga sewajarnya tidak membebankan kerja-kerja tertentu terhadap pelajar, sehingga memberi kesan kewangan kepada mereka,” katanya. - Bernama